Belanjawan Persekutuan, Sarawak perlu seiring, hak Tanah Adat jangan dipinggir


Belanjawan MADANI 2027 dan Belanjawan Sarawak 2027 perlu diterjemahkan kepada pembangunan yang adil, inklusif dan memberi manfaat langsung kepada rakyat, termasuk masyarakat luar bandar serta komuniti peribumi.
Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Sibuti, Zulhaidah Suboh berkata, kedua-dua belanjawan memperlihatkan persamaan aspirasi dalam aspek pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan usaha merapatkan jurang pembangunan.
Menurutnya, walaupun Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak mempunyai bidang kuasa, sumber hasil serta pendekatan pentadbiran berbeza, kepentingan rakyat perlu menjadi titik pertemuan utama.
"Walaupun kedua-dua kerajaan mempunyai bidang kuasa, sumber hasil dan pendekatan pentadbiran yang berbeza, kepentingan rakyat seharusnya menjadi titik pertemuan utama," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI memperuntukkan RM16.2 bilion kepada Sarawak menerusi Belanjawan 2027, meningkat berbanding RM15.1 bilion pada tahun sebelumnya.
Katanya, peruntukan itu mencerminkan kepentingan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan Sarawak.
Zulhaidah berkata, antara bidang yang perlu diberikan perhatian bersama ialah kesejahteraan rakyat, pembangunan infrastruktur, pertumbuhan ekonomi, pendidikan dan pembangunan modal insan serta usaha memastikan golongan berpendapatan rendah dan masyarakat pedalaman tidak tercicir daripada arus kemajuan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa persamaan aspirasi dalam kedua-dua belanjawan perlu disusuli pelaksanaan yang telus, adil dan boleh dipertanggungjawabkan.
"Pembangunan tidak seharusnya diukur semata-mata melalui jumlah peruntukan, nilai projek atau kemegahan infrastruktur, tetapi juga melalui sejauh mana hak, kebajikan dan kepentingan rakyat dipelihara," katanya.
Dalam konteks Sarawak, beliau menegaskan pembangunan perlu mengambil kira hak tanah adat masyarakat peribumi, khususnya apabila projek melibatkan tanah yang dituntut sebagai Tanah Adat Bumiputera (NCR).
Menurutnya, setiap projek sedemikian perlu disertai penelitian status tanah, rundingan bermakna dengan pihak berkepentingan serta penyelesaian pampasan yang adil apabila berkenaan.
Beliau berkata, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak seharusnya terhad kepada pembahagian peruntukan, sebaliknya perlu memastikan wang awam digunakan demi kepentingan rakyat.
"Kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bukan sekadar soal pembahagian peruntukan, tetapi tanggungjawab bersama memastikan setiap ringgit wang awam memberi pulangan kepada rakyat," katanya.
Zulhaidah berkata, perbezaan jumlah peruntukan dan pendekatan pentadbiran tidak seharusnya menghalang kedua-dua kerajaan daripada berpegang pada prinsip keadilan, ketelusan dan kesejahteraan rakyat.
"Kerana pembangunan sebenar bukan sekadar membina masa depan, tetapi memastikan tiada hak rakyat yang terpinggir dalam proses membinanya," katanya.




Comments