top of page

Jentera pilihanraya diperkukuh, runtuhkan tembok politik perkauman

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 1 day ago
  • 2 min read

KEADILAN akan memperkukuh jentera pilihanraya dengan Jawatankuasa Pilihan Raya Parti (JPRP) diarahkan melengkapkan pasukan dalam tempoh dua minggu sebelum gerak kerja diperluaskan ke Kedah dan Perlis.


Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amiruddin Shaari (gambar) berkata, langkah itu penting bagi memastikan parti bersedia menghadapi medan pilihan raya selain melengkapkan agenda Reformasi yang diperjuangkan parti.


"Jawatankuasa pilihan raya akan lengkapkan dalam tempoh dua minggu pasukan kita. Dua minggu lagi JPRP akan turun Kedah dan Perlis. Kita akan mulakan," katanya ketika berucap pada Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Melaka.


Menurut beliau, pengukuhan jentera perlu berjalan seiring dengan perubahan pendekatan politik, khususnya dalam memahami bahasa dan kecenderungan generasi muda.


Katanya, parti perlu menyesuaikan cara berkomunikasi dengan kelompok muda dan tidak boleh terus menggunakan pendekatan serta bahasa politik lama jika mahu kekal relevan.


"Sebab itu bahasa kita kena berubah, kena faham, kena guna istilah mereka," katanya.


Dalam pada itu Amiruddin berkata, perjuangan politik juga tidak boleh dibina hanya berasaskan kemarahan atau penolakan terhadap pihak tertentu, sebaliknya perlu berpaksikan visi yang jelas.


"Kita tidak boleh membina negara kita ini hanya dengan kemarahan. Kita tidak boleh membina negara kita hanya dengan ‘no’. Kita ada visi, kita ada kejelasan," katanya.


Beliau turut menyifatkan politik perkauman sebagai antara “tembok akhir” yang perlu diruntuhkan bagi melengkapkan proses Reformasi negara.


Menurutnya, KEADILAN sejak penubuhannya memilih politik berbilang kaum sebagai asas perjuangan, manakala cabaran yang perlu dihadapi ialah politik yang menjadikan kaum sebagai asas mendapatkan dan mengekalkan kuasa.


"Kalau tembok ini ranap, iaitu tembok perkauman yang selama ini menjadi asas parti mereka, kita akan menerajui dan mengetuai perubahan," katanya.


Beliau berkata, KEADILAN perlu terus mempertahankan politik yang menjamin keadilan kepada semua tanpa mengetepikan kedudukan Melayu dan Islam sebagai sebahagian daripada asas Perlembagaan negara.


Katanya, usaha membantu masyarakat Melayu, Cina, India dan kelompok lain tidak sepatutnya dijadikan bahan untuk mencetuskan persaingan perkauman.


Amiruddin berkata, sekiranya tembok politik perkauman berjaya diruntuhkan, KEADILAN berpotensi kekal relevan sebagai peneraju perubahan negara untuk jangka panjang.


"Kalau kita menang pertarungan ini, KEADILAN akan tetap relevan untuk menerajui perubahan dalam negara kita," katanya.


Beliau turut mengingatkan anggota parti bahawa perjuangan selepas ini bukan sekadar menghadapi pemilihan dalaman, tetapi menentukan dengan jelas halangan yang perlu dilawan dan diruntuhkan.


"Bukan hanya lawan pemilihan. Lawan tetap lawan. Kita nak jelas siapa yang kita nak lawan. Kita jelas tembok apa yang kita nak runtuhkan.


"Inilah dia Reformasi yang perlu kita lengkapkan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page