Jentera PH, AMANAH Melaka bawa pendekatan "Rahmatan Lil Alamin"


Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru seluruh jentera Pakatan Harapan (PH), khususnya AMANAH supaya segera turun ke lapangan dan menggerakkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Seruan itu dibuat susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRN negeri berkenaan.
Mohamad berkata jentera PH dan AMANAH di semua peringkat perlu memulakan persiapan dengan berpegang kepada nilai kesabaran, keteguhan dan kesiapsiagaan.
"Seperti firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 200 kita dituntut supaya bersabar, memperteguh kesabaran dan sentiasa bersiap siaga," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja mengingatkan jentera supaya membawa pendekatan Rahmatan Lil ‘Alamin dalam setiap gerak kerja sepanjang menghadapi pilihanraya.
"Bawalah pendekatan Rahmatan Lil ‘Alamin dalam setiap gerak kerja, politik yang membawa rahmat, keadilan dan kebaikan kepada semua, tanpa menjadikan perbezaan kaum dan agama sebagai bahan untuk mencetuskan kebencian," katanya.
Beliau turut menyeru seluruh jentera bergerak sebagai satu pasukan dengan disiplin, amanah dan semangat kebersamaan.
"Kepada seluruh jentera, bergeraklah sebagai satu pasukan dengan penuh disiplin, amanah dan semangat kebersamaan.
"Besar atau kecil peranan yang dimainkan, setiap tenaga dan sumbangan amat diperlukan," katanya.
Beliau berkata usaha dan kerja keras seluruh jentera diharapkan dapat membuahkan kejayaan buat PH dalam PRN Melaka yang akan datang.
"Semoga segala usaha dan kerja keras kita membuahkan kejayaan buat Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Negeri Melaka nanti," katanya.
Pembubaran DUN Melaka ke-15 berkuat kuasa hari ini selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya negeri lebih awal.
Tempoh mandat sepatut berakhir pada Disember ini.
SPR memaklumkan pilihan raya umum negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. Pada PRN Melaka 2021, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 kerusi, PH lima dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Bagaimanapun, komposisi kerusi berubah sepanjang penggal berikutan perubahan sokongan dan kedudukan beberapa ADUN.
BN kini mempunyai 20 kerusi selepas ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis menyertai Pas manakala seorang lagi ADUN, Dr Mohd Yadzil Yaakub menjadi wakil Bebas selepas dipecat Bersatu.
Komposisi semasa sebelum pembubaran ialah BN 20, PH lima, PN dua dan Bebas satu.
Dalam PRN 2021, lima kerusi PH terdiri daripada empat kerusi DAP dan satu kerusi AMANAH.




Comments