Jemput Trump: M'sia imbangi sekutu AS di ASEAN, peluang angkat isu Palestin
- Suara Keadilan

- Oct 7
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN memberi cabaran diplomatik besar kepada Malaysia selaku pengerusi tahun ini.
Penggerak Rakan Nasionalis Moderat, Faiz Na’aman (gambar) menjelaskan, Malaysia bukan sahaja perlu mengimbangi kepentingan sekutu AS di rantau ini iaitu Singapura, Thailand dan Filipina yang senang dengan kehadiran Trump, malah berpeluang mengangkat isu Palestin secara langsung di hadapan pemimpin nombor satu AS tersebut.
"Kalau Donald Trump nak datang ke Malaysia kerana kita pengerusi ASEAN, kita bukannya mewakili kepentingan negara kita sahaja untuk berurusan dengan Amerika Syarikat.
"Walaupun mungkin kita tak suka watak Donald Trump, tapi dia mewakili sebuah kuasa besar dunia yang mana kita berurusan dari segi perdagangan, teknologi dan perkhidmatan dengan negaranya.
"Malah Malaysia juga mewakili negara-negara ASEAN (sekutu AS) sebab kita pengerusi ASEAN," katanya kepada Suara Keadilan.
Beliau menegaskan, Malaysia perlu bijak mengatur strategi diplomasi susulan keadaan geopolitik di rantau ini begitu kompleks.
"Sebagai pengerusi ASEAN, kita perlukan Amerika Syarikat untuk menjaga keseimbangan geopolitik di Asia Tenggara.
"Kita tahu Laut China Selatan menjadi rebutan (pengaruh) oleh pihak China. Kalau kita tidak memasukkan Amerika Syarikat dalam equation (perkiraan) ini, kita akan dilihat sebagai proksi China," jelasnya lagi.
Selain itu, sidang kali ini turut dijangka menghimpunkan pemimpin kuasa besar dunia termasuk Presiden China Xi Jinping, wakil Presiden Rusia Vladimir Putin dan wakil BRICS.
Dalam masa yang sama kata Faiz, isu Palestin dan tetap dijangka menjadi sorotan.
"Saya yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus menyatakan tentang Gaza, tentang Israel, tentang Palestin di depan muka Trump bila beliau berada di negara kita nanti.
"Malaysia, pada mana-mana kerajaan pun sejak dahulu lagi konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin, bukan baru hari ini
"Apa yang dibuat oleh Kuala Lumpur ini memang satu strategi diplomasi yang bijak untuk mengekalkan negara kita sebagai status quo, sebagai tempat pertemuan.
"Peranan Kuala Lumpur bukan hanya untuk kepentingan Malaysia, bukan hanya untuk ASEAN, malah untuk mengekalkan supaya kuasa-kuasa dunia tidak terlalu bergeser," katanya mengingatkan bahawa Malaysia perlu realistik dalam mengurus hubungan dengan AS.
"Kita bukan negara besar yang boleh memulaukan mana-mana kuasa besar dunia. Tambahan pula banyak elemen dalam ekonomi Malaysia bergantung kepada produk, perkhidmatan dan teknologi dari Amerika Syarikat," katanya.
Beliau turut menasihatkan untuk berhati hati menghadapi sikap agresif Trump yang sering mengenakan sekatan terhadap pihak yang mengurangi kepentingan AS.
"Donald Trump ini bukan sahaja defensif, tapi punitif (menghukum). Kalau kita bersifat kasar, dia boleh balas balik.
"Kita tengok bagaimana dia menekan jiran sendiri seperti Kanada dan negara Kesatuan Eropah dalam perang dagang. Jadi strategi kita bukan menyingkirkan kuasa besar, sebaliknya gunakan peluang ini untuk kepentingan Malaysia dan rantau.
"Kita difahamkan kehadiran Trump nanti ke Malaysia juga untuk menandatangani perjanjian perdagangan antara Malaysia dan AS yang boleh memberi manfaat besar kepada ekonomi negara pada masa depan," ujarnya lanjut.
Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur dijangka berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober dilihat sebagai medan penting untuk Malaysia memperkukuh solidariti ASEAN, mengangkat isu kemanusiaan Palestin ke perhatian global serta mengimbangi kepentingan kuasa-kuasa besar.









Comments