top of page

Jangan terperangkap manipulasi sentimen agama, jawab dengan fakta

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 3 hours ago
  • 2 min read
Kamil menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Nasional AMK 2026 di MITC. petang tadi
Kamil menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Nasional AMK 2026 di MITC. petang tadi

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menggesa rakyat supaya tidak mudah terperangkap dengan permainan sentimen agama dan emosi dalam politik, sebaliknya menilai setiap isu berdasarkan fakta serta rekod pentadbiran.


Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata penerangan berasaskan fakta perlu dipergiat bagi memastikan masyarakat tidak terpengaruh dengan naratif yang menggambarkan seolah-olah pihak tertentu sahaja memperjuangkan kepentingan Islam dan orang Melayu.


Beliau mengambil contoh isu perjudian apabila kerajaan hari ini didakwa tidak tegas, sedangkan jumlah cabutan khas nombor ramalan pernah dinaikkan daripada lapan kepada 22 kali setahun ketika parti yang membawa naratif Melayu-Islam berada dalam kerajaan.


"Apakah kita lupa cabutan khas daripada lapan, naik ke 22? Itu adalah ketika mana parti-parti yang sebut tentang soal Melayu, Islam ini.


"Ketika itulah mereka sedang memimpin kerajaan dan berada pada tampuk kekuasaan. Jadi, hipokrasi apakah ini?" katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Nasional AMK 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini.


Menurut Kamil, jumlah cabutan khas itu kemudiannya dikurangkan semula kepada lapan kali setahun selepas Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran.


"Cuma bila masuk Kerajaan MADANI, daripada 22 cabutan khas itu, kita kembalikan semula kepada lapan," katanya.


Beliau berkata, isu sedemikian menunjukkan bagaimana sesuatu perkara boleh diolah menggunakan sentimen agama dan emosi sehingga membentuk persepsi tertentu dalam kalangan masyarakat.


Muhammad Kamil turut mengimbau polemik Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang menurutnya pernah dimainkan secara keterlaluan sehingga masyarakat diberi gambaran seolah-olah pendirian terhadap isu itu menjadi ukuran mutlak perjuangan Islam.


"Ingat dulu, RUU 355. Tak buat hari ini, esok hang masuk neraka. Tak buat hari ini, macam esok nak kiamat. Habis dimainkan sentimen di kalangan rakyat dan masyarakat itu.


"Jadi, tugas kita apa? Untuk menyelit, ‘intercept’ pada ruang itu. Memberi kefahaman dan penjelasan yang sewajarnya supaya mereka tidak terikut," katanya.


Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa politik berteraskan Islam seharusnya diterjemahkan melalui akhlak dan kepimpinan melalui teladan, bukannya budaya menghukum, mencaci atau merendahkan pihak lain.


Katanya, Nabi Muhammad SAW memperoleh kepercayaan masyarakat kerana sifat amanah serta akhlak yang ditunjukkan baginda dalam kehidupan dan kepimpinan.


"Dia tunjuk kepimpinan melalui teladan. Dia tak pernah maki orang, caci orang, hukum orang. Tetapi dia membina keyakinan dan juga kepercayaan masyarakat di Mekah pada ketika itu kerana dia mempamerkan akhlak kepimpinan, sikap yang baik.


"Ini dia Islam yang dimaknai dengan penghayatan, dengan ilmu, dengan kefahaman, dengan kesedaran. Dan barulah kita boleh menjelmakan sebuah masyarakat yang baik, masyarakat yang terangkum, masyarakat yang ada keperibadian," katanya.


Sementara itu, Kamil berkata AMK juga mahu melahirkan lebih ramai pemimpin wanita muda yang berwibawa dan kompeten tanpa mengehadkan penyertaan mereka kepada kuota 30 peratus semata-mata.


Menurutnya, peluang kepimpinan perlu diberikan berdasarkan kemampuan, kewibawaan dan kompetensi seseorang, selain mengambil kira rekod KEADILAN dalam mengangkat kepimpinan wanita di peringkat tertinggi negara.


"AMK ada kuota 30 peratus, tapi saya kata saya tidak perlukan sekadar 30 peratus. Kalau kita ada barisan kepimpinan muda yang berkaliber, ‘reliable’ (boleh dipercayai), ada kompetensi dan ‘stature’ (perawakan) yang baik, kita akan perjuangkan untuk semua, bukan untuk 30 peratus sahaja.


"Jangan lupa, kitalah parti pertama yang menobatkan seorang wanita sebagai Ketua Pembangkang dan seterusnya Timbalan Perdana Menteri wanita pertama dalam sejarah negara," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page