“Jangan berleter, mengeluh dan salahkan orang bila kalah”
- Sidiqin Omar

- 1 day ago
- 2 min read

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan anggota parti supaya menerima kekalahan dengan sabar, tanpa berleter, mengeluh atau menyalahkan pihak lain, sebaliknya menjadikan kegagalan sebagai ruang untuk memperbaiki kelemahan dan meneruskan perjuangan.
Ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional KEADILAN 2026 di MITC, Melaka hari ini, Anwar mengambil pengalaman Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai contoh pemimpin yang mampu menerima kekalahan dengan tenang dan terus berpegang kepada prinsip perjuangan.
Menurut beliau, Aminuddin yang kalah dalam pertarungan politik sebelum ini tidak menunjukkan sikap menyalahkan sesiapa, malah terus melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin dan memperkukuh perjuangan parti.
"Saya tidak pernah dengar dia kata, aku ini sudah buat semua, akulah paling pandai, ujar aku paling baik. Tidak. Yang saya dengar, mungkin tidak sampai ke sana, mungkin tidak boleh, mungkin. Jadi beri ruang. Belajar," katanya.
Anwar menyeru seluruh kekuatan dalam KEADILAN supaya dirangkul dan diberi ruang untuk menyumbang kepada parti tanpa terlalu terikat dengan peraturan kecil yang boleh menghalang gerak kerja.
Beliau menegaskan bahawa KEADILAN sebagai parti reformasi perlu bersedia menerima kepelbagaian kekuatan, pengalaman dan kebolehan anggota demi memperkukuh perjuangan.
"Memang kita parti reformasi. Ada peraturan, ada kaedah-kaedahnya. Tetapi saya nak beritahu, kita rangkul semua.
"Berilah sumbangan sebaiknya. Jangan peduli tentang beberapa peraturan kecil itu. Jadi silakan, lakukan yang terbaik dan berikan khidmat," kata Anwar merujuk kepada bekas tokoh lama KEADILAN yang mahu kembali aktif bersama parti.
Tambah beliau, pendekatan tersebut selari dengan prinsip perjuangan KEADILAN yang memilih jalan lebih sukar berbanding jalan mudah yang boleh membawa kepada kepentingan peribadi, kuasa atau persekongkolan dengan pihak yang salah.
Menurutnya, anggota parti perlu kekal dengan prinsip keadilan walaupun perjuangan itu menuntut pengorbanan dan menghadapi pelbagai ujian.
"Ini bukan parti politik biasa. Ini ideal. Tak mudah. Kita sudah pilih jalan yang sukar ini," katanya.
Beliau turut mengingatkan anggota agar tidak menjadikan kekalahan pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan sebagai sebab untuk saling menyalahkan, sebaliknya mengambil iktibar bagi memperbaiki gerak kerja parti.
"Kalah ini bukan sebab Amin atau sebab Anwar Ibrahim. . Ketua ranting, calon, sebab semua itu. Jadi mari kita terima kekalahan ini untuk memperbaiki masalah," katanya.
Anwar berkata, KEADILAN perlu kembali memberi tumpuan kepada kerja organisasi, memperkukuh jentera serta memastikan seluruh kekuatan parti bergerak dalam satu arah.




Comments