Isu kuil di Selangor sudah puluhan tahun, sengaja dipanaskan kembali
- Akmal Manaf

- Mar 11
- 2 min read

Isu rumah ibadat tidak mendapat kebenaran di Selangor yang kembali hangat diperdebatkan didakwa sengaja dipanaskan bagi menimbulkan kegoyahan persepsi terhadap Kerajaan MADANI, ketika pentadbiran di bawah Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sedang mencatat prestasi amat memberangsangkan khususnya dalam aspek ekonomi dan pentadbiran.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq (gambar) berkata, polemik berhubung kuil tidak sah itu sebenarnya bukan isu baharu, sebaliknya telah lama wujud merentasi beberapa pentadbiran sebelum ini, namun kembali dipolemikkan dalam suasana politik semasa.
"Kalau tentang isu kuil haram atau tak sah, benda ini bukan baru.. sudah lama (wujud isu kuil). Dari saya kecil dan sejak pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) lagi.
"(Sekarang ini) seolah-olah kuil ini dibina ketika Kerajaan MADANI memerintah. Padahal dah lama kuil-kuil itu bertapak. Ada yang (menjangkau usia) 40 hingga 60 tahun lamanya.
"Apa yang mereka boleh buat ialah dengan memetik isu perkauman untuk menunjukkan kelemahan Kerajaan MADANI.
"Jadi ini adalah salah satu cara mereka untuk menampakkan kegoyahan Kerajaan MADANI yang sedang menunjukkan prestasi amat memberangsangkan (perform well) dengan pertumbuhan ekonomi yang bagus," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa aktivis yang menentang kewujudan kuil tidak sah di Selangor dilihat hanya lantang bersuara ketika Kerajaan MADANI memerintah, sedangkan isu berkenaan telah berlarutan, termasuk ketika Pas berada dalam Kerajaan Negeri dan ketika parti itu menganggotai kerajaan Persekutuan antara 2020 hingga 2022.
Malangnya, aktivis anti rumah ibadat tanpa kebenaran itu tidak pula membuat 'masalah' pada waktu pemerintahan parti Melayu-Islam, biarpun isunya tidak pernah diselesaikan.
Mengulas lanjut, Iman menegaskan isu kuil tidak sah bukan kelemahan Kerajaan MADANI kerana perkara berkenaan boleh menjadi polemik di bawah mana-mana pentadbiran sekiranya sentimen tersebut sengaja diapi apikan di media sosial.
"Sekarang ini zaman orang kejar populariti. Mereka suka cetuskan sesuatu benda untuk naikkan nama, kemudian (tiba-tiba) senyap dan hilang begitu sahaja.
"Yang cetuskan populariti ini akan kekal sampai bila-bila, tapi dia akan sentiasa mencari isu-isu untuk relevankan nama dia.
"Bahasa mudahnya dipanggil 'attention seeker'. Tapi (perlu diingat) dengan cara menghina agama orang lain, ia merupakan satu perkara yang tak patut dilakukan kerana boleh menjurus ke arah pergaduhan antara kaum," ujar beliau yang juga Ketua AMK Ampang.
Isu rumah ibadat tidak mendapat kebenaran tular apabila sekumpulan aktivis terlibat merobohkan kuil di tapak tanah milik Yayasan Kubra di Rawang, Selangor yang kemudian menjadi isu besar apabila tidak dilakukan melalui prosedur yang sesuai.
Kes itu kemudian mengundang tindak balas antara penganut agama yang mencetuskan bahaya kepada keharmonian negara.




Comments