Selangor teroka potensi nuklear, penuhi keperluan sumber tenaga baharu
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 2 min read

Kerajaan Negeri Selangor sedang meneroka potensi tenaga nuklear sebagai sumber tenaga baharu yang bersih dan mampan bagi memenuhi keperluan tenaga negeri yang semakin meningkat, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata usaha itu dimulakan menerusi pertemuan bersama wakil dari China National Nuclear Corporation (CNNC) sebagai sebahagian langkah awal menjalin kerjasama strategik dengan pihak antarabangsa yang berpengalaman dalam sektor berkenaan.
"Pagi ini saya bertemu dengan wakil dari China National Nuclear Corporation (CNNC) dalam usaha Kerajaan Negeri meneroka sumber tenaga baharu yang bersih dan mampan.
"Kerajaan Negeri Selangor kini berada dalam fasa awal penerokaan tenaga nuklear, susulan penubuhan Jawatankuasa Kerja Bersama Tenaga Nuklear Selangor pada tahun lalu bagi menilai aspek kebolehlaksanaan secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan hari ini.
Amirudin berkata Selangor berhasrat mengorak langkah dengan menjalin kerjasama strategik bersama China bagi mempelajari teknologi nuklear moden yang lebih selamat serta berdaya maju.
Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan sebarang penerokaan tenaga nuklear dilaksanakan secara berhemah, berasaskan pengetahuan teknikal dan mengambil kira standard keselamatan antarabangsa.
"Selangor berhasrat mengorak langkah dengan menjalin kerjasama strategik bersama pihak dari China untuk mempelajari teknologi nuklear moden yang lebih selamat dan berdaya maju.
"Antara inisiatif yang digerakkan termasuk penghantaran pegawai serta bakat tempatan ke China bagi mendalami pengoperasian tenaga nuklear, sekali gus membina keupayaan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi dalam bidang ini," katanya.
Beliau berkata pembangunan modal insan tempatan merupakan komponen penting dalam agenda peralihan tenaga negeri, khususnya bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu menyokong industri masa hadapan.
Amirudin berkata langkah meneroka tenaga nuklear juga didorong oleh peningkatan permintaan tenaga di Selangor sebagai negeri penyumbang utama ekonomi negara dan hab perindustrian utama.
"Usaha ini didorong oleh keperluan tenaga Selangor yang semakin meningkat. Justeru, Kerajaan Negeri komited untuk mempelbagaikan sumber tenaga demi menjamin kelestarian dan keterjaminan bekalan tenaga untuk jangka masa panjang," katanya.




Comments