top of page

Hentikan gerakan gugat kerajaan negeri - AMK N Sembilan

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Semua pihak perlu menghentikan sebarang gerakan politik bagi menggugat kestabilan pentadbiran negeri susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, kelmarin.


Ketuanya Mohamad Hamizan Mohd Bahtiar berkata, percubaan menjatuhkan kepimpinan sedia ada merupakan tindakan tidak bertanggungjawab serta membelakangkan kepentingan rakyat yang mahukan kesinambungan pembangunan dan kemakmuran negeri.


"Tindakan mencatur angka untuk menjatuhkan kepimpinan sedia ada adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap kepercayaan pengundi.

Mohamad Hamizan Mohd Bahtiar
Mohamad Hamizan Mohd Bahtiar

"Rakyat Negeri Sembilan ketika ini memerlukan tumpuan sepenuhnya daripada wakil rakyat untuk menyelesaikan isu ekonomi dan kos sara hidup, bukannya drama politik yang tidak berkesudahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mohamad Hamizan berkata, pentadbiran kerajaan negeri ketika ini berdiri atas mandat sah yang diberikan rakyat menerusi pilihan raya lalu dan sebarang usaha menukar kerajaan di luar proses demokrasi matang hanya akan menghidupkan kembali budaya politik tidak sihat.


Katanya, kerajaan Negeri Sembilan berfungsi di bawah peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang perlu dihormati semua pihak.


Tegas beliau, kestabilan politik merupakan kunci kepada kemajuan negeri dan sebarang gerakan yang tidak selaras dengan lunas perlembagaan negeri tidak seharusnya diiktiraf demi menjaga kedaulatan undang-undang.


Sehubungan itu, beliau mendesak semua pihak menghentikan “eksperimen politik” yang disifatkan merugikan serta kembali memberi fokus kepada gerak kerja membantu rakyat.


Katanya cara berpolitik secara tidak sihat perlu segera dihentikan.


Mohamad Hamizan berkata sayap parti negeri itu akan terus berdiri teguh mempertahankan mandat rakyat dan memastikan pentadbiran Aminuddin terus fokus memacu agenda pembangunan negeri tanpa gangguan politik yang berniat jahat.


"Jangan biarkan kepentingan peribadi atau kelompok kecil menggadaikan masa depan Negeri Sembilan.


"Rakyat sedang memerhati dan mereka akan menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk negeri dan siapa yang hanya mengejar kuasa," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page