top of page

Isu jurang ekonomi Johor: Onn Hafiz patut guna pentas debat beri penjelasan

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • Jul 2
  • 2 min read
DS Amirudin mahu debat jurang ekonomi di Johor diadakan bagi memberi penjelasan. Foto: FB Amirudin
DS Amirudin mahu debat jurang ekonomi di Johor diadakan bagi memberi penjelasan. Foto: FB Amirudin

Calon Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi wajar menggunakan pentas debat sebagai ruang untuk menjelaskan perancangan menangani isu jurang ekonomi antara wilayah di negeri itu, kata Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shari.


Menurut beliau, rakyat Johor berhak mengetahui bagaimana kepimpinan negeri bercadang meningkatkan pendapatan rakyat serta memastikan pembangunan ekonomi tidak hanya tertumpu di kawasan tertentu.


Amirudin berkata, antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah perbezaan pendapatan antara daerah di Johor yang masih menunjukkan jurang ketara, khususnya antara kawasan bandar utama seperti Johor Bahru dengan daerah-daerah lain.


"Pendapatan rakyat di beberapa kawasan di Johor masih sekitar RM4,000 hingga RM5,000, sedangkan Johor Bahru mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi. Persoalannya, bagaimana kita mahu merapatkan jurang ini dan memastikan semua kawasan mendapat manfaat pembangunan?" katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah "Johor Ke Depan Undi Harapan" di Tapak Parkir Medan Selera Senggarang, Batu Pahat.


Menurut Amirudin, isu pembangunan dan peningkatan pendapatan rakyat memerlukan penjelasan yang tepat daripada pemimpin, bukannya sekadar retorik politik.


Beliau berkata pentas debat adalah peluang terbaik untuk calon menerangkan dasar, strategi serta pelan tindakan kepada rakyat supaya mereka dapat membuat penilaian berdasarkan idea dan kemampuan.


"Kita bukan mahu bergaduh. Kita mahu berdebat untuk melihat apa perancangan, apa penyelesaian dan bagaimana seseorang pemimpin mahu membawa negeri ini ke hadapan," katanya.


Amirudin yang juga anak Johor berkata, seorang pemimpin perlu mempunyai keberanian, keterbukaan serta kesediaan menjawab persoalan rakyat terutama berkaitan isu ekonomi yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.


Beliau turut berkongsi pengalaman mentadbir Selangor yang menurutnya memberi penekanan kepada pembangunan seimbang antara wilayah bagi mengurangkan jurang ekonomi.


Katanya, kerajaan Selangor melaksanakan pelan pembangunan menyeluruh menerusi Rancangan Selangor Pertama dan Rancangan Selangor Kedua, selain membangunkan kawasan strategik melalui pendekatan wilayah pembangunan bersepadu.


Antaranya ialah pembangunan Integrated Development Region di selatan Selangor serta Sabak Bernam Development Area di utara Selangor bagi mewujudkan peluang ekonomi baharu di luar kawasan bandar utama.


"Kita datang ke Johor untuk membawa pengalaman bagaimana meningkatkan ekonomi dan pendapatan rakyat.


"Pembangunan tidak boleh hanya tertumpu di satu kawasan, tetapi perlu diratakan ke seluruh daerah termasuk Senggarang, Batu Pahat, Kluang dan kawasan lain," katanya.


Amirudin berkata pendekatan tersebut penting supaya rakyat di setiap wilayah menikmati peluang yang lebih adil dari segi pekerjaan, pelaburan dan peningkatan pendapatan.


Beliau menegaskan rakyat Johor memerlukan pemimpin yang mampu memberikan jawapan serta hala tuju yang jelas bagi menghadapi cabaran ekonomi negeri.


"Pentas debat adalah tempat untuk menjelaskan perancangan. Rakyat berhak tahu bagaimana isu jurang ekonomi Johor mahu ditangani dan bagaimana masa depan negeri ini mahu dibangunkan," katanya.


Sambil berseloroh Amirudin turut memberi gambaran bahawa budaya masyarakat Johor sebenarnya terbuka kepada perbincangan dan perbahasan secara matang.


Misalnya ketika pengantin lelaki bertandang ke rumah pengantin perempuan, akan disekat “roadblock”, dan hanya boleh dilepasi selepas berdebat, atau berpantun.


"Contohnya ketika kita buat rewang di kampung, kita sudah biasa berdebat dengan tukang masak, berbincang tentang pelbagai perkara. Apatah lagi apabila menguruskan majlis kahwin, ada pula cabaran seperti sekatan jalan (road block) yang biasanya dijawab dengan pantun," katanya disambut tawa oleh hadirin.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page