top of page

Srikandi KEADILAN saran wanita muda kuasai pekerjaan berkemahiran tinggi

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
39 minutes ago
2 min read
Nurhidayah Che Rose
Nurhidayah Che Rose

Srikandi KEADILAN Malaysia menggesa pelaksanaan Belanjawan 2027 wajib memastikan wanita muda mendapat akses lebih luas kepada latihan kemahiran, pekerjaan bergaji tinggi dan peluang keusahawanan bagi membina kehidupan yang lebih mandiri.


Ketuanya, Nurhidayah Che Rose, berkata peruntukan RM8 bilion bagi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta sasaran 30,000 peluang pekerjaan baharu melalui Bakat MADANI membuka ruang kepada wanita muda menceburi bidang teknologi, digital dan industri berkemahiran tinggi.


Menurutnya, peluang berkenaan perlu diterjemahkan kepada kerjaya yang berkualiti serta peningkatan pendapatan sebenar, bukan sekadar penyertaan dalam program latihan.


"Wanita muda mesti mendapat tempat dalam pekerjaan bergaji tinggi dan industri masa hadapan. Peruntukan latihan perlu diterjemahkan kepada peluang kerjaya dan peningkatan pendapatan yang nyata," katanya dalam kenyataan hari ini.


Nurhidayah turut menyambut baik Geran Sejahtera MADANI berjumlah RM200 juta bagi menyediakan peralatan dan latihan kepada 40,000 penerima, khususnya wanita, yang berpotensi membantu memperkukuh keusahawanan wanita muda.


Bagaimanapun, beliau menegaskan proses permohonan perlu dipermudah, pemilihan penerima dilaksanakan secara telus dan bimbingan berterusan disediakan bagi memastikan bantuan berkenaan dimanfaatkan secara optimum.


Dalam pada itu, insentif caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi kategori pekerja gig yang layak turut disifatkan sebagai langkah penting untuk memperkukuh perlindungan sosial serta simpanan persaraan wanita muda.


Menurutnya, perlindungan sedemikian amat penting bagi wanita yang bekerja dalam sektor gig, yang memerlukan jaminan sosial dan persediaan kewangan untuk jangka panjang.


Srikandi KEADILAN Malaysia juga menyambut baik bantuan SARA MADANI sebanyak RM100 yang diberikan dua kali kepada warganegara berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), masing-masing sebelum Aidilfitri dan menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-70.


Nurhidayah berkata bantuan itu dapat membantu meringankan perbelanjaan asas, termasuk bagi wanita muda yang sedang membina kehidupan dan kerjaya.


"Srikandi menegaskan bahawa pelaksanaan Belanjawan 2027 perlu memastikan peluang dan bantuan ini dapat diakses oleh wanita muda di akar umbi serta membawa peningkatan nyata kepada pendapatan dan kesejahteraan mereka," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page