top of page

Dakwaan Eric See persenda istilah al-Quran, BN perlu nyatakan pendirian - KEADILAN

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
1 min read
Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat , Bryan Ng Yih Miin
Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat , Bryan Ng Yih Miin

Barisan Nasional (BN) digesa menyatakan pendirian berhubung kandungan yang dikaitkan dengan pempengaruh media sosial, Lim Sian See atau Eric See-To, yang didakwa mempersenda istilah bahasa Arab daripada al-Quran ketika mengulas pembentangan Belanjawan 2027 semalam.


Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Bryan Ng Yih Miin berkata sekiranya benar dakwaan itu maka agama dan kitab suci tidak sepatutnya dijadikan bahan sindiran politik, walaupun dalam perbahasan mengenai dasar kerajaan.


Beliau berkata, perbezaan pandangan dalam demokrasi adalah perkara biasa, namun kritikan terhadap belanjawan sepatutnya disampaikan menggunakan hujah dan fakta.


"Agama dan kitab suci bukan bahan untuk dijadikan sindiran politik," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Bryan, jika kandungan yang tersebar itu dibuat seperti yang didakwa, tindakan berkenaan bukan sahaja tidak sensitif, malah menunjukkan kegagalan menghormati kepercayaan orang lain.


Beliau turut mengingatkan bahawa kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab dan mengambil kira undang-undang serta kesannya terhadap keharmonian masyarakat.


"Malaysia ialah negara hukum. Kebebasan bersuara tidak bermakna seseorang boleh berkata apa sahaja tanpa mengambil kira undang-undang dan kesannya terhadap masyarakat," ujarnya.


Bagaimanapun, beliau menegaskan semua pihak berhak mendapat proses yang adil, justeru siasatan perlu dijalankan secara profesional, manakala sebarang tindakan hendaklah berdasarkan bukti dan undang-undang.


Bryan turut membangkitkan laporan bahawa Sian See pernah dilantik sebagai Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN, sambil mempersoalkan pendirian gabungan itu terhadap isu berkenaan.


Menurutnya, BN perlu menyatakan secara terbuka bahawa perbuatan memperlekehkan agama tidak boleh diterima tanpa mengira individu yang melakukannya atau pihak yang menjadi sasaran politik.


"Jika kita menuntut orang lain menghormati kepercayaan kita, kita sendiri mesti menunjukkan penghormatan yang sama terhadap kepercayaan orang lain," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page