Kukuhkan ekonomi penjagaan, ringankan beban keluarga - Wanita KEADILAN


Belanjawan 2027 perlu memastikan manfaat ekonomi dirasai keluarga melalui bantuan kewangan, perkhidmatan penjagaan mampu milik serta perlindungan sosial yang lebih menyeluruh, khususnya bagi golongan rentan.
Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Juwairiya Zulkifli (gambar) berkata Belanjawan MADANI 2027 berjumlah RM510 bilion yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memberi perhatian kepada usaha membantu rakyat menghadapi kos sara hidup dan memperkukuh kesejahteraan keluarga.
Beliau berkata, antara inisiatif utama ialah peruntukan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), meningkat berbanding RM15 bilion sebelum ini.
Selain itu, lebih RM80 bilion disediakan bagi keseluruhan subsidi, bantuan dan insentif, termasuk subsidi bahan api sekitar RM40 bilion, hampir RM3.3 bilion bagi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta RM750 juta untuk program Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI.
"Belanjawan kali ini dilihat banyak meringankan beban kewangan keluarga serta memperkukuh sokongan kepada ibu bapa yang bekerja," katanya dalam kenyataan media.
Juwairiya berkata, kos taska, pendidikan awal kanak-kanak, penjagaan anak berkeperluan khas dan pengangkutan merupakan antara komitmen besar yang perlu ditanggung keluarga muda.
Menurutnya, pelaburan dalam perkhidmatan penjagaan yang mampu milik dan berkualiti bukan sahaja membantu mengurangkan beban ibu bapa, malah membolehkan lebih ramai wanita kekal dalam pekerjaan serta meningkatkan pendapatan keluarga.
Beliau turut menyambut baik peningkatan Bantuan Awal Persekolahan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid, dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion, selain elaun RM2,500 untuk pelajar Tingkatan Enam.
Katanya, bantuan itu dapat membantu ibu bapa menampung keperluan persekolahan anak-anak, termasuk mereka yang berkeperluan khas.
Dalam aspek perlindungan sosial, Juwairiya berkata, keluarga yang menjaga warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik dan anak-anak yang memerlukan sokongan tambahan turut diberikan perhatian menerusi beberapa langkah baharu.
Antaranya, kenaikan Bantuan Penjagaan OKU Terlantar dan Pesakit Kronik daripada RM500 kepada RM600 sebulan serta Bantuan Khas Kanak-kanak kepada RM250 sebulan.
Beliau turut menyambut baik penggubalan Rang Undang-Undang Warga Emas bagi menangani isu pengabaian dan memperkukuh ekosistem penjagaan yang lebih menyeluruh.
"Pengukuhan institusi keluarga melalui program BuAi atau Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti kepada 2,000 pasangan serta peluasan perkhidmatan kesejahteraan lelaki melalui LPPKN turut diberikan perhatian," katanya.
Juwairiya berkata, golongan berpendapatan sederhana atau M40 juga mendapat manfaat melalui peningkatan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 serta pengurangan kadar cukai bagi julat pendapatan bercukai tertentu.
Menurutnya, langkah itu berpotensi meningkatkan pendapatan boleh guna keluarga, meskipun manfaat sebenar bergantung pada keadaan cukai setiap individu.
Bagaimanapun, beliau berharap semua inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan berkesan supaya bantuan sampai kepada golongan sasaran, selain isu kos perumahan, pendidikan anak-anak, penjagaan warga emas dan kebajikan keluarga terus diberikan perhatian.
"Kejayaan belanjawan harus diukur melalui kemampuan keluarga memenuhi keperluan asas, mengurangkan tekanan kewangan dan membina masa depan anak-anak dengan lebih terjamin," katanya.
Beliau yang juga Penyelaras DUN Hulu Kelang berkata, belanjawan yang berpaksikan rakyat bukan sekadar merangsang pertumbuhan ekonomi, malah perlu memastikan setiap keluarga dapat menikmati hasil pembangunan negara selaras dengan tema “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”.




Comments