Industri diseru aktif bentuk kurikulum TVET - Amirudin


Pemain industri di Selangor diseru proaktif dalam pembangunan kurikulum Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan graduan memenuhi keperluan sebenar pasaran kerja.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerjasama strategik antara industri dan institusi latihan perlu diperkukuh bagi memastikan program yang ditawarkan benar-benar memenuhi keperluan sebenar industri.
"Ini termasuk penglibatan lebih menyeluruh dalam pembangunan kurikulum, akses kepada peralatan moden, latihan praktikal serta peluang mendapatkan pendedahan secara langsung di tempat kerja," katanya dipetik laporan media.
Naib Presiden KEADILAN itu berkata demikian menerusi ucapan Majlis Penutupan Selangor Techsphere Summit (STS) 2026 sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu.
Sementara itu menurutnya, pembangunan modal insan menjadi fokus utama Kerajaan Negeri memandangkan Selangor tidak mempunyai kebergantungan kepada sumber asli seperti petroleum, gas, atau unsur nadir bumi (REE).
Justeru Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) memegang peranan penting untuk merapatkan jurang antara institusi latihan bakat dengan industri.
"Golongan muda kita bukan sahaja perlu dilengkapi kelayakan akademik, malah mesti mempunyai kemahiran praktikal, keupayaan menyesuaikan diri serta kebolehan bekerja dengan teknologi baharu yang sedang berkembang.
"Oleh itu, TVET memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi pembangunan industri Selangor," ujarnya.
Dalam pada itu, Amirudin menegaskan bahawa Rancangan Selangor Kedua (RS-2) memberi penekanan khusus kepada pembangunan kemahiran, pemanfaatan teknologi baharu, serta budaya pembelajaran sepanjang hayat.
Langkah ini selari aspirasi untuk menjadikan Selangor sebagai negeri contoh di rantau ASEAN menerusi pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan berdaya saing.




Comments