top of page

Hormati mandat Johor, PH bangkit dapatkan semula keyakinan rakyat

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 48 minutes ago
  • 2 min read

Seluruh kepimpinan dan penyokong Pakatan Harapan (PH) perlu menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan hati terbuka serta menjadikannya sebagai pengajaran untuk memperkukuh perjuangan menjelang cabaran politik seterusnya khususnya di Negeri Sembilan.


Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor adalah mandat rakyat yang perlu dihormati sambil berharap Kerajaan Negeri yang baharu dapat menunaikan amanah dengan penuh integriti serta mengutamakan kebajikan rakyat mengatasi kepentingan politik.


"Saya mengucapkan tahniah kepada kepimpinan Barisan Nasional atas kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Johor.


"Keputusan ini adalah mandat rakyat yang wajib dihormati," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mahfuz turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Johor kerana menunaikan tanggungjawab demokrasi serta mengucapkan tahniah kepada semua calon PH yang berjaya memenangi kerusi masing-masing.


Beliau mengingatkan kemenangan bukan satu keistimewaan sebaliknya amanah yang lebih besar untuk terus mendengar denyut nadi rakyat, bersikap rendah diri dan bekerja tanpa mengenal penat.


Pada masa sama, beliau menyeru calon PH yang tewas agar tidak menjadikan kekalahan sebagai noktah perjuangan.


"Kekalahan adalah guru yang paling jujur. Bangkitlah dengan lebih kuat, lebih dekat dengan rakyat dan lebih bersedia menghadapi cabaran akan datang," katanya.


Mahfuz turut merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas, sukarelawan dan jentera PH yang sanggup mengorbankan masa, tenaga serta wang ringgit sepanjang kempen pilihanraya.


Menurut beliau nilai sesuatu perjuangan tidak hanya diukur melalui jumlah kerusi yang dimenangi tetapi kesetiaan kepada prinsip serta kesanggupan untuk terus berkhidmat kepada rakyat.


Beliau berkata keputusan PRN Johor akan dinilai secara menyeluruh bagi mengenal pasti kelemahan dan memperbaiki segala kekurangan.


"...menjadi tanggungjawab kita untuk mendapatkan semula keyakinan mereka melalui kerja yang lebih baik, dasar yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat dan politik yang lebih matang," katanya.


Mahfuz mengingatkan Johor bukan penamat kepada perjuangan PH sebaliknya menjadi peringatan bahawa keyakinan rakyat perlu dipupuk dan dimenangi semula setiap hari, bukan hanya ketika musim pilihanraya.


Beliau berkata fokus perjuangan kini perlu diteruskan ke Negeri Sembilan yang akan menghadapi pilihanraya pada Ogos.


"Johor bukan penamat. Johor adalah guru. Johor mengajar kita bahawa rakyat tidak boleh dianggap akan mengundi kita selama-lamanya. Keyakinan rakyat perlu dimenangi semula setiap hari.


"Esok perjuangan bersambung. Esok rakyat Negeri Sembilan akan melihat sama ada kita kecewa atau kita bangkit. Pejuang sebenar bukan diukur ketika menang, tetapi ketika kalah," katanya.


Mahfuz menegaskan perjuangan untuk membawa politik yang bersih, pentadbiran berintegriti dan masa depan yang lebih baik kepada negara akan terus diteruskan.


"Jangan biarkan kekecewaan semalam merampas peluang esok. Kita bangkit, kita belajar dan kita terus melangkah. Perjuangan ini lebih besar daripada satu kemenangan atau satu kekalahan," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page