top of page

Hormat Jalur Gemilang, perjuangkan MA63 tanpa cetus kontroversi

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
5 hours ago
2 min read
Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar
Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar

Tindakan mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik dalam demonstrasi kumpulan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) Australia di Melbourne baru baru ini, seperti dilaporkan media, bukan pendekatan terbaik untuk menyuarakan tuntutan politik.


Mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan, maruah dan identiti negara yang perlu dihormati oleh semua rakyat Malaysia.


Oleh itu, katanya, perbezaan pandangan politik tidak seharusnya membawa kepada tindakan yang boleh menyinggung perasaan rakyat atau mencetuskan permusuhan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.


"Jalur Gemilang ialah lambang kedaulatan, maruah dan identiti negara yang perlu dihormati. Perbezaan pandangan tidak seharusnya membawa kepada tindakan yang boleh menyinggung perasaan rakyat atau mencetuskan permusuhan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya dalam hantaran di media sosial.


Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa hak serta kepentingan Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu terus dihormati dan diperkasakan.


Katanya, perjuangan menuntut hak kedua-dua wilayah itu tidak bercanggah dengan semangat patriotisme selagi dilaksanakan berlandaskan fakta, Perlembagaan dan saluran yang sah.


Dalam masa sama, Fakhrulrazi berkata kemajuan pelaksanaan MA63 di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, wajar diiktiraf.


Beliau merujuk laporan Bernama pada 22 Oktober 2026 yang menyatakan 12 daripada 16 perkara MA63 yang telah diselesaikan sepenuhnya, dimuktamadkan dalam tempoh empat tahun pentadbiran Kerajaan MADANI.


Antara pencapaian yang dilaporkan ialah penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak, pengambilalihan MASWings oleh Sarawak untuk dijenamakan sebagai AirBorneo, penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik kepada Sabah serta pelantikan wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).


Cintai Malaysia, pertahan Sabah, Sarawak


Menurut Fakhrulrazi, pencapaian berkenaan wajar dihargai sebagai hasil usaha kerajaan semasa, manakala perkara yang masih dalam rundingan perlu terus ditangani melalui kerjasama dan semangat muafakat.


"Bagi saya, kita tidak perlu memilih antara mencintai Malaysia dengan mempertahankan hak Sabah dan Sarawak. Kedua-duanya boleh berjalan seiring.


"Mengiktiraf kemajuan kerajaan tidak bermakna kita menafikan perkara yang masih perlu diselesaikan. Begitu juga, memperjuangkan hak wilayah tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menghina lambang negara," katanya lagi.


Beliau turut mengingatkan bahawa sejarah pembentukan Malaysia perlu dibincangkan secara terbuka, matang dan berasaskan dokumen, tanpa membentuk naratif yang menjadikan rakyat Semenanjung sebagai musuh masyarakat Sabah dan Sarawak.


Katanya, pandangan sesuatu kumpulan juga tidak seharusnya dianggap mewakili keseluruhan masyarakat di wilayah berkenaan.


Fakhrulrazi berkata Malaysia akan menjadi lebih kuat apabila rakyat saling menghormati, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri terus bekerjasama, serta setiap persoalan berkaitan hak ditangani secara adil dan bertanggungjawab.


"Jalur Gemilang perlu dihormati. MA63 perlu terus diperkasakan. Hak Sabah dan Sarawak perlu dipelihara. Perpaduan Malaysia mesti dibina atas dasar keadilan, bukannya kebencian.


"Itulah pendirian saya sebagai seorang rakyat Malaysia yang mahukan sebuah negara yang bersatu, adil dan menghormati semua wilayah serta rakyatnya," katanya lagi.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page