Harga diesel: Jangan buat perbandingan harga 2011 - 2026, bodohkan rakyat
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 2 min read

Tular di media sosial segelintir ahli politik dan penyokong pembangkang membuat perbandingan harga diesel antara tahun 2011–2014, 2022 dan 2026 bagi menggambarkan kegagalan dasar kerajaan, namun seorang netizen tampil membidas naratif tersebut sebagai mengelirukan dan tidak berasaskan fakta menyeluruh.
Menerusi satu hantaran panjang, Syazwan Fahmi menegaskan perbandingan harga semata-mata tanpa mengambil kira faktor ekonomi utama merupakan “siri nak membodohkan rakyat”.
"Tanpa mengambil kira faktor-faktor lain, ambil pada harga semata-mata, ia adalah siri nak membodohkan rakyat," katanya di Facebook.

Menurut beliau, aspek paling penting yang sering disorok ialah kadar tukaran mata wang, memandangkan minyak global didagangkan dalam dolar Amerika (USD) dan bukannya ringgit.
Beliau menjelaskan, walaupun harga minyak global dilihat hampir sama antara dua tempoh, nilai ringgit yang berbeza menyebabkan kos sebenar import meningkat ketara.
"Walaupun angka harga USD nampak hampir sama, kos sebenar kerajaan untuk membeli minyak import hari ini tetap meningkat lebih 43%," katanya.
Syazwan turut mengkritik kaedah perbandingan yang menyamakan harga subsidi pukal pada masa lalu dengan harga pasaran semasa, yang disifatkannya sebagai tidak jujur.
"Dia tulis dua mekanisme harga yang sama sekali berbeza untuk menipu pembaca," katanya.
Menurut beliau, harga diesel sekitar RM1.80 pada 2011 adalah hasil subsidi pukal yang dinikmati semua pihak tanpa had termasuk pihak tidak layak.
"Semua orang termasuk warga asing, kilang tauke besar dan penyeludup dapat beli dengan harga murah. Ketirisan teruk berlaku," jelasnya.
Sebaliknya, harga semasa yang lebih tinggi adalah sebahagian daripada mekanisme pasaran bagi mengekang penyelewengan, ujarnya.
"Kerajaan sengaja letak harga mahal di pam untuk ‘membanteras’ sindiket penyeludupan," katanya.
Bagaimanapun bidas Syazwan, penentang kerajaan sengaja menyorok fakta iaitu bagi memastikan kos sara hidup dan harga barang terkawal, sektor pengangkutan logistik dan kenderaan perdagangan masih membeli diesel pada harga RM2.15 seliter menggunakan sistem Fleet Card di bawah inisiatif Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
"Malah, golongan kritikal seperti nelayan menikmati subsidi khas dan membeli diesel dengan harga yang jauh lebih murah daripada RM2.15 !
"Jadi, membandingkan RM1.80 (bersubsidi pukal) dengan RM4.72 (harga pasaran apungan) adalah satu perbandingan yang sangat berniat jahat, menipu fakta, dan sekadar nak menangguk di air yang keruh."
Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan tidak membiarkan rakyat menanggung beban sepenuhnya kerana bantuan disalurkan secara terus.
"Rakyat biasa tidak dibiarkan terkapai-kapai, mereka diberikan subsidi melalui pindahan wang tunai terus ke akaun bank," katanya merujuk kepada inisiatif bantuan bersasar melalui BUDI95.
Mengulas lanjut, Syazwan berkata keadaan ekonomi dan penggunaan bahan api hari ini jauh berbeza berbanding sedekad lalu.
"Pada tahun 2011, kenderaan sekitar 20 juta. Tahun 2026, sudah melebihi 36 juta unit," katanya.
Menurut beliau, peningkatan mendadak penggunaan serta kemerosotan pengeluaran minyak domestik memaksa negara meningkatkan import sekali gus menambah tekanan kepada kos subsidi.
Mengenai hujah tahun 2022 yang sering dijadikan contoh harga rendah meski kos sebenar ketika itu jauh lebih tinggi daripada harga di pam, beliau menjelaskan harga pasaran sebenar dah cecah RM4 lebih, tapi kerajaan kekalkan RM2.15.
Situasi tersebut menyebabkan beban subsidi melonjak tinggi, ujarnya.
"Kerajaan pada masa itu terpaksa bakar RM77.3 bilion untuk subsidi negara," katanya.
Lebih membimbangkan, beliau mendakwa berlaku lonjakan penggunaan diesel yang luar biasa.
"Data tunjuk penggunaan diesel tiba-tiba melompat 70% masa tu sebab kena curi."
Jelas beliau perbahasan mengenai harga diesel dilihat tidak lagi sekadar soal angka di pam, tetapi melibatkan persoalan dasar subsidi, ketirisan, serta realiti ekonomi semasa.




Comments