Lima peratus penjaja terima bantuan: Kerajaan arah libat urus elak keciciran
- Akmal Manaf
- 4 hours ago
- 1 min read

Kerajaan akan meneliti langkah memperluas akses bantuan kewangan formal kepada golongan penjaja termasuk menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional) susulan dapatan kajian Institut Penyelidikan Khazanah yang menunjukkan kadar penyertaan kumpulan itu masih rendah.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan hasil kajian institut berkenaan yang mendapati hanya sekitar lima peratus penjaja menerima bantuan melalui saluran formal seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia.
"Antara sebab yang telah dibangkitkan dalam laporan tersebut (adalah) berkait status perniagaan yang tidak berdaftar.
"Justeru, kementerian berkaitan diminta mengadakan sesi libat urus bersama penjaja bagi memahami isu dihadapi untuk memastikan bantuan kewangan formal dapat dilanjutkan dan dipanjangkan kepada mereka," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Selain itu, Fahmi memaklumkan, Pusat Mediasi MADANI akan dirasmikan pada 18 Mei ini dan akan dikelolakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata, usaha di pusat berkenaan adalah bersifat pro bono yang membabitkan mediasi komersial dan ketika ini, terdapat lebih 170 orang yang berkelayakan sebagai mediator bagi isu yang memerlukan mediasi di bawah paras RM250,000 dan akan diadakan secara percuma.
