top of page

Tohmah sahabat Nabi: SEKPUR mahu debat, wujud akta baharu tangani 3R

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 6 hours ago
  • 2 min read
Mustapa Mansor dalam sidang media selepas SEKPUR membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, K Lumpur
Mustapa Mansor dalam sidang media selepas SEKPUR membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, K Lumpur

Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) tampil mencadangkan agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjemput Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh hadir ke studio bagi menjawab secara ilmiah berhubung kontroversi kenyataan yang dikeluarkan melibatkan sahabat Rasulullah s.a.w.


Pengerusi SEKPUR, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa berkata, cadangan itu diutarakan bagi melihat kejujuran Nik Muhammad Zawawi dalam menjelaskan isu kontroversi tersebut secara terbuka.


"Kita datangkan pakar-pakar dan kita minta beliau bentangkan dalil daripada kitab mana, ayat mana serta hadis mana yang menyokong hujah-hujah yang dikemukakan.


"Berdepanlah (Nik Muhammad Zawawi) dengan profesor-profesor dan para pelajar (seperti mana berlaku di Indonesia). Kita mahu lihat siapa sebenarnya yang membawa kebenaran dalam isu ini.


"Kalau beliau salah, beliau perlu memohon maaf, namun jika beliau masih kata dia betul juga, saya bimbang nanti macam-macam (hal) boleh jadi," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini bagi tujuan laporan polis terhadap Nik Muhammad Zawawi.


Dalam pada itu, Ketua Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embun berkata Nik Zawawi perlu dikenakan tindakan tegas terhadap tohmahan yang dilakukannya terhadap sahabat Nabi s.a.w.


"Dalam Islam kita wajib untuk berjihad apabila agama kita telah diremehkan, kita mesti menegakkan agama Allah, bukan menghina dan juga memberi cerita dongeng berkenaan sahabat Nabi yang mulia.


"Saya mahu, sebagaimana di lapor polis oleh Mejar Razali, ambil tindakan undang undang (ke atas Nik Zawawi) termasuk Akta Hasutan.


"Ini akta wajib dikenakan kepada beliau kerana melibatkan perkara agama (3R)," katanya.


Shahbudin mahu kerajaan ambil tindakan tegas terhadap pemimpin Pas tohmah sahabat Nabi
Shahbudin mahu kerajaan ambil tindakan tegas terhadap pemimpin Pas tohmah sahabat Nabi

Selain itu, Shahbudin juga menggesa kerajaan segera mewujudkan akta khas bagi melindungi raja raja Melayu dan agama Islam daripada dipersenda atau ditohmah sedemikian rupa.


"Undang undang tersendiri mesti diadakan segera untuk melindungi raja raja Melayu, untuk melindungi hak orang Melayu dan agama Islam


Ini wajib diadakan. Tahniah Datuk Zahid (TPM) yang mengeluarkan kenyataan yang begitu tepat pada masa (meminta dikaji akta baharu) dan ketikanya apabila 3R dimainkan.


Apabila raja raja diremehkan, termasuk hari ini agama Islam diremehkan oleh parti yang mengatakan mereka parti Islam," katanya lagi.


Shahbudin dalam pada itu, memaklumkan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan bagi menzahirkan pendirian berhubung pemerkasaan undang-undang Mahkamah Syariah.


Beliau berkata, mereka juga akan menyediakan memorandum dua muka surat untuk diserahkan kepada menteri berhubung isu berkenaan.


Terbaharu, Nik Muhammad Zawawi yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau yang mengaitkan sahabat Nabi Muhammad SAW dengan istilah 'bapa ceti' dan 'kaki zina' dalam program ceramah politik di Kuala Terengganu, Ahad lalu.


Beliau mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian sehingga mencetuskan kontroversi dan menyinggung perasaan pelbagai pihak.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page