Kabinet kecam kenyataan pemimpin Pas hina sahabat Nabi
- Suara Keadilan

- May 13
- 1 min read

Kabinet mengecam keras kenyataan kontroversi melibatkan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa mempersenda sahabat Nabi Muhammad s.a.w dalam satu ceramah politik di Kuala Terengganu, Ahad lalu.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata, perkara itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri petang tadi dan disifatkan sebagai tidak boleh diterima sama sekali.
"Jemaah Menteri dimaklumkan terdapat sejumlah laporan polis yang sudah dan sedang dibuat, maka kita serah kepada pihak berkuasa, termasuk polis dan jabatan agama untuk melakukan siasatan," katanya dalam sidang media mingguan hari ini.
Menurut beliau, reaksi masyarakat terhadap isu tersebut juga dilihat sangat hangat, khususnya di media sosial.
"Sehingga sekarang, respon dalam media sosial itu sangat panas mengenai isu ini dan kita faham," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Nik Zawawi dilaporkan telah tampil memohon maaf serta menarik balik kenyataan yang mengaitkan sahabat Nabi dengan istilah tidak wajar.
Beliau mengakui kekhilafan dalam penyampaian dan kurang cermat dalam mengolah maklumat sehingga mencetuskan kontroversi serta menyinggung perasaan pelbagai pihak.
Untuk rekod, ungkapan Nik Zawawi terhadap dua sabahat Nabi s.a.w seperti Saidina Abu Bakar sebagai "bapa ceti" dan Saidina Umar sebagai sering melakukan maksiat sebelum memeluk Islam mengguris hati umat Islam Malaysia dan pelbagai pihak telah membuat laporan polis terhadap Nik Zawawi sejak petang semalam.




Comments