MP Petaling Jaya patut hadir sesi mesyuarat RTPJ, bukan kritik di media sosial
- Suara Keadilan

- May 13
- 2 min read

Tanggungjawab seorang Ahli Parlimen jauh lebih berat daripada mengkritik sesuatu isu, tetapi kurang berusaha untuk memahami atau mengatasinya.
Hal itu dinyatakan oleh Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin (gambar) terhadap prestasi Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.
Pengerusi Biro Undang-undang dan Aduan KEADILAN Selangor itu mendakwa Ahli Parlimen berkenaan gagal melaksanakan tanggungjawab apabila didakwa hanya hadir dalam dua daripada 32 sesi rundingan Pelan Tempatan Petaling Jaya (RTPJ) sejak Oktober 2024.
Bryan Ng berkata, Majlis Bandaraya Petaling Jaya telah menganjurkan puluhan sesi rundingan termasuk perbincangan kumpulan fokus dan bengkel teknikal, namun dakwanya kerusi yang diperuntukkan kepada wakil rakyat atau wakilnya sering tidak diisi.
"Jemputan rasmi telah dihantar dan beliau sedar sepenuhnya mengenai sesi tersebut, namun tetap memilih untuk tidak hadir," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, isu-isu yang sering dibangkitkan oleh Chean Chung seperti kajian impak trafik (Macro-TIA), kepadatan penduduk, pengangkutan awam dan ketersambungan batuan terakhir (last-mile connectivity) adalah komponen teras yang dibincangkan secara teknikal dalam RTPJ.
"Sebagai Ahli Parlimen, beliau seharusnya hadir ke sesi tersebut untuk memberikan pandangan pakar serta cadangan bas mini beliau secara rasmi.
"Di dalam mesyuarat tersebut, segala data dan Traffic Impact Assessment (TIA) dibentangkan untuk kefahaman mendalam, bukannya sekadar mengkritik dari luar tanpa memahami fakta teknikal," katanya.
Bryan Ng turut mempersoalkan pendekatan Chean Chung yang didakwanya lebih cenderung mengemukakan cadangan melalui media sosial berbanding saluran rasmi.
"Beliau mengeluh mengenai masa menunggu perkhidmatan on demand dan mencadangkan bas mini, sedangkan beliau mempunyai akses terus untuk membawa cadangan ini secara rasmi ke MBPJ bukannya sekadar menjadikannya bahan media sosial," ujarnya.
Pada masa sama, Ahli Majlis Petaling Jaya itu turut membandingkan tindakan tersebut dengan isu banjir kilat di sekitar Petaling Jaya yang dakwanya hanya disusuli kenyataan media tanpa penyelesaian konkrit.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan Chean Chung supaya menghentikan retorik politik dan memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebenar sebagai wakil rakyat.
"Saya menasihatkan YB Lee dan pejabatnya supaya berhenti menggunakan retorik "reformasi" untuk menutup kelemahan prestasi peribadi," dakwanya.
Tambah beliau, penduduk Petaling Jaya berhak mendapat wakil rakyat yang aktif dalam proses membuat keputusan dan memastikan yang terbaik untuk penduduk.
"Rakyat Petaling Jaya berhak mendapat seorang wakil rakyat yang bekerja di dalam bilik mesyuarat, bukannya sekadar mengkritik selepas kerja-kerja teknikal hampir selesai," katanya lagi.




Comments