Gangguan bekalan air berulang: Setakat mana keupayaan sumber air Johor?
- Suara Keadilan

- Feb 21
- 2 min read

Isu gangguan bekalan air yang berulang di beberapa kawasan di Johor sejak tahun lalu menimbulkan persoalan mengenai keupayaan sumber air negeri itu dalam menghadapi situasi kecemasan.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Tebrau, Jalex Lee berkata, gangguan bukan sahaja berlaku di Simpang Renggam dan Benut pada tahun 2026, malah sepanjang 2025 beberapa kawasan lain turut terjejas.
"Saya pun rasa pelik, bukan sahaja Simpang Renggam dan Benut pada tahun 2026, tetapi tahun 2025 di tempat-tempat lain pun pernah hadapi gangguan air," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pada Mei 2025, gangguan akibat pembocoran paip utama di Johor Bahru dan Iskandar Puteri menjejaskan sebanyak 155,074 akaun pengguna.
Pada Julai 2025 pula, kerja-kerja penyelenggaraan di Johor Bahru dan Tebrau menyebabkan 30,000 akaun terjejas.
Gangguan lebih besar berlaku pada Oktober 2025 apabila pencemaran di Sungai Johor menjejaskan bekalan air di Senai, Skudai, Felda Linggiu, Petrijaya dan Lima Kedai, melibatkan 292,158 akaun pengguna.
Terbaharu pada Februari 2026, gangguan akibat kemarau di Simpang Renggam dan Benut menjejaskan 31,081 akaun.

Walaupun setiap gangguan mempunyai punca tersendiri seperti kebocoran, penyelenggaraan, pencemaran dan kemarau, Jalex mempersoalkan sama ada sumber air di Johor mempunyai sistem sandaran atau lebihan kapasiti mencukupi untuk menghadapi keadaan luar jangka.
"Walaupun semua ada sebabnya, tetapi adakah sumber air di Johor dah tidak ada ‘back up’ atau ‘surplus’ jika hadapi situasi kecemasan? Ini amat membimbangkan," ujarnya.
Sehubungan itu, Exco AMK Pusat itu menggesa kerajaan negeri Johor merangka dan melaksanakan pelan lebih komprehensif bagi memastikan bekalan air sentiasa stabil pada setiap masa.
"Keadaan seperti tahun 2025 tidak seharusnya berulang, apabila berlaku tiga gangguan bekalan air, dan dua daripadanya melibatkan lebih daripada 100,000 akaun pengguna," tegasnya lagi.
Beliau menekankan bahawa isu bekalan air merupakan keperluan asas rakyat dan memerlukan perancangan jangka panjang yang lebih menyeluruh bagi menjamin kesejahteraan penduduk serta kestabilan pembangunan negeri.




Comments