top of page

Pas guna politik identiti, ketakutan, manipulasi isu 3R kekalkan sokongan?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 minutes ago
  • 2 min read

Pendekatan Pas yang terus memainkan politik sempit berasaskan ketakutan dan sentimen identiti demi meraih sokongan orang Melayu hanya akan menggugat masa depan negara.


Aktivis Pakatan Harapan Terengganu, Awang Muda berkata, kenyataan terbaru pimpinan Pas bahawa tiada larangan isu 3R dalam politik Islam, mencerminkan kecenderungan parti itu untuk menggunakan agama dan kaum sebagai alat politik menuju Pilihan Raya Umum ke 16.


"Pas hari ini seolah-olah lebih selesa memainkan isu kaum, agama dan persepsi ancaman terhadap Islam demi memastikan emosi penyokong terus membara, berbanding isu lebih real seperti ekonomi dan peluang pekerjaan," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, pendekatan tersebut berisiko menanam mentaliti ekstrem dalam kalangan masyarakat seolah-olah perbezaan pandangan politik merupakan ancaman kepada agama.


"Naratif ini sangat berbahaya kerana ia menanam mentaliti “kalau bukan bersama Pas, maka menentang Islam”," ujarnya.


Beliau menegaskan bahawa isu 3R melibatkan kaum, agama dan institusi diraja merupakan perkara sensitif yang perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab.


"Tetapi Pas terus menjadikan isu ini sebagai modal politik kerana mereka tahu sentimen marah lebih mudah menggerakkan penyokong, politik emosi lebih cepat viral, ketakutan lebih mudah mempengaruhi rakyat daripada dasar ekonomi," jelasnya.


Pas kata beliau, sengaja menggunakan imej kesucian agama untuk melindungi agenda politik dan hal itu bertentangan dengan kaedah demokrasi.


"Bila dikritik mereka dakwa Islam diserang, bila ditegur mereka kata ulama dihina, bila ditekan mereka tuduh wujud agenda Barat dan liberalisme.


"Strategi ini sangat licik kerana ia cuba menjadikan Pas “kebal” daripada kritikan awam. Sedangkan dalam demokrasi parti politik boleh dikritik, pemimpin boleh dipersoal, dasar boleh dibahaskan."


Awang Muda berkata, rakyat kini lebih memerlukan penyelesaian kepada isu ekonomi dan kesejahteraan hidup berbanding retorik yang memecah-belahkan.


"Isu sebenar yang real, rakyat hari ini mahu peluang pekerjaan, ekonomi stabil, pelaburan masuk, harga barang terkawal, dan masa depan anak-anak terjamin," katanya.


Beliau juga mengingatkan bahawa politik identiti melampau boleh membawa kepada ketegangan dan menjejaskan kestabilan negara jika tidak dibendung.


Justeru, menurut Awang, Malaysia perlukan politik baru sederhana, inklusif, fokus ekonomi, membina perpaduan, dan menyelesaikan masalah rakyat.


"Negara ini tidak boleh terus dijadikan medan eksperimen politik identiti sempit hanya kerana ada pihak terdesak mahu mempertahankan pengaruh politik mereka," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page