Malaysia dinobat Pengurusan Haji Terbaik Dunia, raih anugerah
- Suara Keadilan

- 16 minutes ago
- 1 min read

Malaysia sekali lagi mencuri perhatian antarabangsa apabila dinobatkan sebagai pengurusan haji terbaik dunia menerusi anugerah tertinggi oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata pengiktirafan tersebut diberikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi melalui Anugerah Labaytum 2026.
"Pengiktirafan berprestij ini merupakan penghargaan terhadap kecemerlangan Lembaga Tabung Haji dalam menguruskan jemaah haji Malaysia bagi musim Haji 1447H/2026M," katanya dalam muat naik di media sosial.
Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia Airlines (MAS) menerima pengiktirafan khas sebagai syarikat penerbangan cemerlang bagi operasi pengangkutan jemaah haji dalam kategori 50 hingga 150 penerbangan.
"Alhamdulillah. Setinggi tahniah kepada pengurusan dan warga Tabung Haji, semua petugas haji kebajikan dan kesihatan, jemaah haji Malaysia, pendeposit TH dan semua rakyat Malaysia," ujarnya.
Menurut beliau, kejayaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memastikan pengurusan ibadah haji dilaksanakan secara cekap, sistematik dan berintegriti.
Tambahnya, nilai kebersamaan, hormat-menghormati serta semangat perpaduan perlu terus dipupuk dalam kalangan masyarakat.
Untuk rekod, Lembaga Tabung Haji hampir setiap tahun menerima pengiktirafan atau anugerah daripada Arab Saudi berkaitan urusan haji.
Namun anugerah tahun ini istimewa yang memberi pengiktirafan Malaysia sebagai pengurusan haji terbaik dunia.




Comments