Ekonomi stabil, rakyat terbela: Formula Selangor hadapi PRU16 - Saifuddin
- Suara Keadilan

- May 20
- 1 min read

Kejayaan ekonomi Selangor yang kekal menjadi penyumbang tertinggi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dilihat mampu menjadi kekuatan utama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, sejak gabungan itu mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008, Selangor berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dengan hasil pembangunan dikongsi secara menyeluruh tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Justeru, pencapaian itu perlu terus dipertahankan kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat, malah membantu menjamin kestabilan politik Selangor.
"Menjelang PRU16, Selangor akan terus menampilkan fakta dan rekod kejayaan ekonomi negeri sebagai kekuatan utama. Selangor merupakan enjin ekonomi negara dan keseimbangan ini perlu dikekalkan demi kesejahteraan rakyat.
"Kita tidak pernah membezakan pelaksanaan dasar berdasarkan warna kulit atau kaum. Pentadbiran negeri bergerak berasaskan keperluan rakyat secara menyeluruh, bukan sentimen sempit," katanya dipetik Media Selangor.
Pandangan Saifuddin itu turut disokong Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr G Gunaraj yang menganggap kejayaan sektor ekonomi yang berkaitan rapat dengan keperluan rakyat mampu menawan hati pengundi pada PRU akan datang.
Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Datuk Ir Izham Hashim menegaskan bahawa selain memacu sektor ekonomi, Selangor juga perlu menitikberatkan aspek keadilan hak untuk semua kaum.
"Selangor ialah negeri kosmopolitan, maju dan kaya dengan pelbagai adat kerana menjadi lubuk rezeki bagi ramai orang
"Pihak pentadbiran negeri sentiasa meneliti dasar dan pelaksanaan terbaik demi menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. Jadi, momentum ini perlu kita kekalkan di samping sentiasa menjaga sensitiviti kaum dan agama," katanya.




Comments