DUN Rim perlukan pembangunan, IPT untuk lepasan sekolah


DUN Rim, Melaka memerlukan agenda pembangunan lebih menyeluruh termasuk peluang pendidikan tinggi dan penyelesaian isu perumahan generasi kedua FELDA, kata Naib Ketua Cabang KEADILAN Jasin, Ramli Meerad.
Beliau berkata pembangunan di kawasan berkenaan perlu diperkasakan bagi memastikan penduduk, khususnya golongan muda mempunyai lebih banyak peluang untuk mendapatkan pendidikan dan membina kehidupan di kawasan sendiri.
Menurutnya, DUN Rim tidak mempunyai institusi pengajian tinggi yang boleh menjadi pilihan penduduk setempat selepas tamat persekolahan.
"Di sini tidak ada institusi pengajian tinggi. Yang ada cuma sekolah teknik, tetapi untuk lepasan sekolah yang mahu melanjutkan pengajian, kemudahannya tidak ada," katanya kepada Suara Keadilan.
Ramli berkata, keadaan itu perlu diberi perhatian kerana akses kepada institusi pendidikan tinggi juga berkait rapat dengan pembangunan ekonomi serta masa depan generasi muda di kawasan luar bandar.
Katanya, pembangunan DUN Rim juga perlu disertai usaha mewujudkan kemudahan dan tarikan baharu bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
"Kalau kita pergi DUN Rim, apa tempat menarik yang ada? Pada pandangan saya, tidak banyak yang boleh dibanggakan dari segi pembangunan dan tarikan," katanya.
Ramli berkata, DUN Rim sebelum ini didominasi Barisan Nasional (BN), termasuk dalam sejarah pilihanraya kawasan berkenaan, namun pembangunan yang diperlukan penduduk masih perlu diberikan perhatian.
Beliau berkata, pendekatan menghadapi PRN Melaka kali ini perlu lebih dekat dengan isu setempat dengan memahami perkara yang benar-benar diperlukan masyarakat.
"Yang penting ialah pembangunan. Kita perlu lihat apa yang penduduk perlukan di tempat mereka sendiri dan bawa perkara itu sebagai agenda," katanya lagi.




Comments