top of page

DUN Air Limau: Bekalan udang galah merosot, bantu bekalkan benih udang galah

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
2 hours ago
2 min read
Major (B) Mohamad Zaini Dimon berkempen agar pengundi DUN Serkam memangkah calon no 1
Major (B) Mohamad Zaini Dimon berkempen agar pengundi DUN Serkam memangkah calon no 1

Kemerosotan bekalan udang galah di kawasan Sungai Timun dan Sungai Jerneh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan nelayan tempatan berikutan hasil tangkapan yang semakin berkurangan, sekali gus memberi kesan kepada sumber pendapatan mereka.


Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Limau, Major (B) Mohamad Zaini Dimon berkata, perkara itu antara isu ekonomi setempat yang dibangkitkan nelayan ketika beliau mengadakan pertemuan dengan penduduk di kawasan berkenaan.


Menurutnya, nelayan di situ memaklumkan bahawa bekalan atau spesies udang galah di kawasan sungai berkenaan semakin berkurangan sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan pendapatan mereka.


"Saya dimaklumkan nelayan-nelayan di situ bahawa bekalan atau spesies udang galah semakin berkurangan.


"Mereka mula risau kerana pendapatan ataupun hasil tangkapan semakin lama semakin kurang," katanya kepada Suara Keadilan.


Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja memberi kesan kepada nelayan yang bergantung kepada hasil tangkapan udang galah, malah berpotensi menjejaskan rantaian ekonomi tempatan yang turut melibatkan pengusaha makanan dan perniagaan berasaskan hidangan udang galah.


Justeru itu, Major Zaini berkata usaha memperkukuh pembiakan udang galah perlu diberikan perhatian, khususnya melalui penyediaan bekalan benih secara berterusan bagi memastikan sumber berkenaan dapat dikekalkan.


Katanya, kawasan Sungai Timun dan Sungai Jerneh mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai kawasan pembiakan udang galah dengan sokongan bekalan benih yang mencukupi.


Menurutnya, usaha mengekalkan sumber udang galah bukan sekadar penting untuk membantu pendapatan nelayan, tetapi juga bagi memastikan aktiviti ekonomi tempatan yang berkait dengan hasil sungai dapat terus berkembang.


"Saya percaya sekiranya kita dapat membantu membekalkan benih-benih udang galah ini secara berterusan untuk dibiakkan di Sungai Timun ataupun Sungai Jerneh, insya-Allah bekalan udang galah akan terus kekal.


"Ini sekali gus dapat menjana pendapatan kepada nelayan yang bergantung kepada hasil tangkapan udang galah tersebut," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page