Hubungan kerjasama ekonomi, perdagangan, pelaburan Malaysia-Taiwan kekal baik


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan Taiwan tidak terjejas, malah negara masih menerima kemasukan pelabur dengan nilai eksport dan import terus melonjak tinggi tahun ini.
Beliau berkata, hubungan ekonomi antara kedua-dua negara kekal positif, malah prestasi perdagangan antara kedua-dua pihak terus mencatatkan peningkatan.
"Saya tidak mahu (sebut) yang sebelumnya, tapi saya nak sebut untuk tahun ini. Termasuk bulan-bulan setelah sedikit sebanyak pergolakan.
"Saya nak sebut ya. Untuk Januari hingga September 2026, berapa eksport kita ke Taiwan? Itu RM116.58 bilion. Berapa import? RM137.67 bilion. Maknanya, eksport kita itu meningkat 88%, import (pula) 24.2%. Jadi jumlah perdagangan itu besar. Berapa? RM254.21 bilion.
"Jadi bagaimana sikap kita tentang Taiwan? Itu rakan dagang yang penting. Hubungan kerjasama ekonomi dan perdagangan serta pelaburan yang baik.
"Kita ingin kekalkan hubungan perdagangan, ekonomi baik, tetapi kita tidak boleh melanggar isu Dasar Satu China, pengiktirafan kita kepada satu negara China yang berpusat di Beijing," katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT).
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah [PN-Langkawi] yang meminta Perdana Menteri menjelaskan sama ada kerajaan dapat mengesahkan laporan berita bertajuk 'Taiwan Sahkan Gantung Rundingan Pelaburan dengan Malaysia' susulan kenyataan yang menyifatkan Taiwan sebagai sebahagian daripada China.
Mohd Suhaimi turut meminta penjelasan mengenai implikasi keputusan itu terhadap hubungan perdagangan dua hala dan aliran pelaburan sedia ada antara Malaysia dengan Taiwan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, hasil semakan bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mendapati tiada laporan mengenai Taiwan menghentikan operasi atau pelaburannya di Malaysia.
Malah, ujar beliau yang juga Menteri Kewangan, terdapat pelaburan baharu yang terus memasuki negara ini, selain rundingan pelaburan yang masih berjalan.
Bagaimanapun, Anwar menjelaskan pendirian Malaysia berhubung Dasar Satu China kekal tidak berubah sejak 1974, selaras dengan pengiktirafan negara terhadap China yang berpusat di Beijing.




Comments