top of page

Anwar PM pertama berlatar gerakan Islam, dakwah - Senator Jufitri

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
1 hour ago
2 min read
Senator Dr Jufitri Joha
Senator Dr Jufitri Joha

Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai Perdana Menteri pertama Malaysia yang mempunyai latar belakang gerakan Islam dan dakwah, sekali gus menjadikan beliau pemimpin yang membawa nilai perjuangan, akhlak serta prinsip Islam dalam pentadbiran negara.


Senator Dr Jufitri Joha berkata, keistimewaan itu bukan sahaja mendapat sokongan dalam kalangan gerakan Islam di Malaysia, malah turut dihormati pemimpin Islam di peringkat antarabangsa.


"Ini satu-satunya Perdana Menteri yang datang daripada gerakan Islam. Satu-satunya Perdana Menteri dalam sejarah pemerintahan di Malaysia ini yang kita lihat mempunyai latar belakang dakwah.


"Bukan sahaja didukung oleh pejuang-pejuang Islam di sini, di Malaysia, tetapi pengalaman saya apabila berada di luar negara, kita lihat seluruh dunia, pemimpin-pemimpin Islam di luar negara memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ayer Limau, dalam DUN Ayer Limau, baru baru ini.


Menurut Jufitri, sokongan pemimpin Islam antarabangsa terhadap Anwar turut didorong oleh keyakinan mereka terhadap pengalaman beliau dalam gerakan dakwah serta nilai kepimpinan yang ditampilkan.


"Mereka kata inilah pemerintah yang baik, yang pernah memimpin gerakan dakwah dan menjadi Perdana Menteri, menunjukkan akhlak yang baik, menunjukkan ciri-ciri pemerintahan yang baik dan seharusnya dikekalkan," katanya.


Mengulas isu Palestin, Jufitri berkata Anwar merupakan antara pemimpin Islam yang paling berani menyuarakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin, termasuk mempertahankan Hamas daripada label pengganas.


"Satu-satunya Perdana Menteri yang berani memperjuangkan isu Palestin adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.


"Daripada 57 negara Islam yang ada di seluruh dunia, Malaysia terus berani memperjuangkan isu Palestin," katanya.


Hamas bukan pengganas


Beliau turut menegaskan Anwar berani menyatakan pendirian bahawa Hamas bukan pengganas, sebaliknya pejuang kebebasan.


"Satu-satunya pemerintah Islam yang berani menyebutkan Hamas bukannya terrorist. Hamas adalah freedom fighter.


"Tidak ada tuan-tuan lihat mana-mana pemimpin yang berani mempertahankan Hamas. Kita lihat Hamas adalah pejuang yang mempertahankan negara mereka daripada Israel," katanya.


Dalam ucapannya, Jufitri turut mengaitkan prinsip kesederhanaan Anwar dengan kisah tokoh Islam Abu Dzar al-Ghifari yang menegur kemewahan pemimpin serta mengingatkan tentang tanggungjawab menjaga harta rakyat.


Katanya, pemikiran Anwar turut dipengaruhi tokoh pemikir Iran, Ali Syariati, yang banyak mengangkat perjuangan membela golongan tertindas.


"Abu Dzar ini sahabat Nabi yang hidup sederhana. Beliau pernah mempersoalkan tentang kemewahan hidup Saidina Muawiyah.


"Abu Dzar al-Ghifari menyebut, kalau ini harta kamu, maka ia satu pembaziran. Tetapi kalau kamu gunakan harta rakyat untuk membina istana kamu, ini merupakan satu pengkhianatan.


"Orang seperti Abu Dzar sangat menjaga tentang harta rakyat," katanya.


Jufitri berkata, prinsip tersebut dapat dilihat melalui gaya hidup Anwar yang disifatkannya sederhana walaupun memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan.


"Sebab itu kita lihat seorang pemimpin yang hidup sederhana, yang tak duduk pun di kediamannya.


"Dia duduk di rumahnya sendiri. Dan rumahnya dijadikan tempat untuk majlis-majlis ilmu. Ulama-ulama datang, cendekiawan datang buat program majlis ilmu.


"Beliau tidak ambil gaji. Hidup sederhana.


"Jadi tuan-tuan, apa lagi yang kita nak? Kita sudah buktikan kita mampu mentadbir dengan baik, mempertahankan Palestin dan menjaga kepentingan rakyat.


"Kita akan pastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memerintah kali kedua, insya-Allah," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page