Doa pecah perut: Mufti perlu tegur MB Sanusi, bercanggah akhlak Islam
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 3 min read

Mufti Kedah digesa tampil memberi panduan kepada umat Islam berhubung tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyeru orang ramai mendoakan keburukan terhadap individu yang tidak dipersetujuinya dalam pertikaian isu perjudian di negeri itu.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata seruan supaya seseorang didoakan “pecah perut” tidak sepatutnya dibiarkan tanpa penjelasan daripada pihak berautoriti agama kerana ia menyentuh soal akhlak dan adab dalam Islam.
Mufti Kedah perlu menjelaskan sama ada Islam membenarkan seorang pemimpin menyeru orang ramai mendoakan keburukan serta kemudaratan terhadap individu yang tidak dipersetujuinya, katanya.
"Adakah mendoakan seseorang ‘pecah perut’ selari dengan akhlak Islam dan adab berbeza pendapat?
"Adakah memaki dan menghina pemimpin yang berbeza pandangan merupakan contoh akhlak yang wajar diteladani umat Islam?
"Jika seruan seperti ini tidak selari dengan ajaran Islam, Mufti perlu menyatakannya dengan jelas supaya rakyat Kedah tidak menganggapnya sebagai ajaran agama," katanya dalam kenyataan.
Mahfuz berkata gesaan itu bukan bertujuan meminta Mufti Kedah menentukan pendirian politik atau mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya bagi memastikan perbezaan politik tidak menghakis akhlak umat Islam.
Kata beliau, pertikaian undang-undang juga sepatutnya diserahkan kepada mahkamah serta diselesaikan melalui saluran Perlembagaan dan bukannya diterjemahkan menjadi kebencian peribadi.
Mahfuz menegaskan pendiriannya itu juga bukan bermaksud mempertahankan perjudian kerana usaha menolak aktiviti berkenaan boleh diperjuangkan menerusi dasar dan undang-undang.
"Kita perlu menolak judi tanpa mendoakan orang pecah perut. Kita boleh menentang dasar tanpa memaki manusia. Kita boleh menang atau kalah di mahkamah tanpa kehilangan akhlak," katanya.
Sebelum ini, Sanusi dalam satu majlis penjelasan isu larangan perjudian di Alor Setar mendakwa beliau mengetahui identiti “tauke” yang membiayai tindakan undang-undang mencabar dasar kerajaan Kedah berhubung premis perjudian.
Namun beliau enggan mendedahkan nama individu berkenaan kerana kes mahkamah belum selesai.
Dalam ucapannya, Sanusi menyeru orang ramai mendoakan individu berkenaan dengan berkata: “Tuan-tuan doa la bagi dia pecah perut. La ni (sekarang) tak boleh sebut, kes mahkamah tak selesai lagi.”
Sanusi turut dilaporkan berkata mereka boleh berdoa setiap hari supaya Tuhan memberikan balasan “pecah perut” kepada individu berkenaan kerana didakwanya melakukan kejahatan.
Dalam ucapan sama, Sanusi turut memberi amaran kepada Anwar yang juga Menteri Kewangan berhubung kemungkinan kelulusan lesen perjudian di Kedah dengan berkata: “Kalau hang lulus hang memang celaka bagi orang Kedah.”
Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos lalu mengekalkan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang memutuskan dasar kerajaan Kedah untuk tidak memperbaharui lesen perniagaan premis perjudian adalah bercanggah dengan Perlembagaan kerana perkara itu berada dalam bidang kuasa Persekutuan.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata Kedah merupakan negeri yang terkenal dengan tradisi ulama, institusi pondok dan perkembangan ilmu Islam, justeru budaya politik yang mengajar makian serta mendoakan kecelakaan tidak seharusnya dinormalisasikan.
"Jangan sampai negeri Kedah yang Ke bawah Duli Tuanku Sultan sebagai ketua agama Islam dan melahirkan ramai ulama terkenal kini dikenali kerana pemimpinnya mengajar rakyat bahawa apabila kita tidak bersetuju dengan seseorang, kita boleh mendoakan dia celaka dan mampoih pecah perut.
"Jika seruan mendoakan orang pecah perut itu tidak selari dengan akhlak Islam, bukankah rakyat Kedah perlu diberitahu supaya jangan mengikutinya?" katanya.
Mahfuz berharap Mufti Kedah tidak melihat gesaan berkenaan sebagai pertikaian politik antara Pakatan Harapan (PH) dan PAS kerana perkara lebih besar yang dipertaruhkan ialah budaya politik yang mahu diwariskan kepada generasi muda Islam.
"Politik yang mengajar hujah, adab dan rahmah, atau politik yang mengajar makian, kebencian dan doa keburukan?
"Jangan kerana kita mahu memerangi judi, kita akhirnya membiarkan akhlak Islam dipertaruhkan.
"Mufti Kedah perlu bersuara bukan untuk membela Anwar tetapi untuk membela akhlak Islam," katanya.




Comments