top of page

Diplomasi Madani kembalikan Malaysia ke era gemilang diplomatik

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read
ree

Oleh: Akmal Manaf


Diplomasi Madani merupakan produk sampingan yang lahir daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke 47 di Kuala Lumpur.


Ungkapan itu menggambarkan Malaysia kembali gemilang dalam arena diplomasi antarabangsa selepas krisis penyelewengan 1Malaysia Development Bhd dan krisis kepimpinan sepanjang 2020 - 2022 lalu.


Bagi penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Datuk Prof Dr Awang Azman Awang Pawi (gambar), Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim kali ini dilihat berjaya memperluaskan skop diplomasi ke arah nilai kemanusiaan dan etika global yang lebih meluas.


Hal itu, katanya, mungkin hampir menyamai rekod Malaysia yang terkenal sebagai negara berkecuali dan perantara rundingan damai dalam lingkungan ASEAN pada 1990an lalu, seperti rundingan panjang antara puak pemisah PULO di Selatan Thailand atau gerakan pemisah Front Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan kerajaan Filipina.


Meskipun, katanya, PM Anwar mungkin belum memecahkan rekod pencapaian diplomatik praktikal setara era 1990an namun pemimpin negara berusia 78 itu telah memperluaskan skop dan makna diplomasi.


"Maka, Diplomasi MADANI bukan meniru era 1990-an, tetapi memodenkan semangatnya dalam konteks geopolitik abad ke-21.


"Pendekatan 'Diplomasi MADANI' ini juga merupakan satu paradigma baharu yang menggabungkan nilai kemanusiaan, keadilan sosial dan kerjasama rentas sempadan.


"Ia lebih bersifat 'soft power' berdasarkan nilai (values-based diplomacy) berbanding 'megaphone diplomacy' era 1990-an.


"PM Anwar berjaya memperluas makna diplomasi yang bukan sekadar keamanan geopolitik, tetapi turut mencakupi keamanan ekonomi, sosial dan maruah Global Selatan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Menurut ahli akademik itu lagi, contoh jelas 'Diplomasi MADANI dapat dilihat apabila PM Anwar menjadi suara paling lantang dalam ASEAN untuk menentang genosid Israel terhadap Palestin, sekali gus memulihkan imej Malaysia sebagai kuasa moral dunia Islam.


"Dalam konflik Myanmar pula, Malaysia menekankan pendekatan diplomasi kemanusiaan melalui Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan (AHA Centre) dan peranan ASEAN Troika membuktikan PM Anwar berani mencabar pendekatan lama yang statik.


"Di peringkat global, ucapan PM Anwar di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) menonjolkan Malaysia sebagai pemikir strategik Global Selatan, bukan sekadar pemain rantau kecil," ujarnya lagi.


Salah satu kejayaan cemerlang Diplomasi Madani tentulah Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang ditandatangani antara Thailand dan Kemboja yang mengakhiri pertempuran di sempatan.


Diplomasi Madani juga memperlihatkan Malaysia menjadi kuasa berkecuali yang mampu menjemput pemimpin China, Amerika Syarikat, Brazil dan Afrika Selatan yang mempunyai pandangan bertentangan atau anti Washington untuk hadir bersama berbincang dan menandatangani perjanjian dagang di Kuala Lumpur.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page