Demokrasi mati di DUN Selangor: Siapa gagal patuh peraturan Dewan?
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Dakwaan sayap pemuda pembangkang di Selangor kononnya ‘demokrasi mati’ susulan tindakan penggantungan tiga Ahli Dewan Negeri (ADN) daripada menghadiri Sidang Dewan Negeri (DUN) ternyata meleset sekaligus mengelirukan rakyat dengan naratif yang tidak berasaskan fakta dan peraturan.
Biro Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor berkata, apa yang berlaku di dalam Dewan Negeri Selangor adalah manifestasi demokrasi berfungsi dengan tertib dan bukan sebaliknya.
Katanya, Speaker Dewan Negeri Selangor telah membuat keputusan berhubung usul yang dikemukakan oleh ADN Taman Medan sebelum ini berdasarkan Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor, khususnya Peraturan Tetap 26(1), 27(5)(b) dan 36(10).
"Dalam keputusannya, Speaker menjelaskan bahawa usul tersebut adalah cacat kerana gagal menyatakan secara spesifik bahagian ucapan yang didakwa bercanggah.
"Selain itu, turut dijelaskan adalah usul berkenaan tidak lengkap kerana tidak memperincikan rujukan kepada Titah Sultan Selangor yang kononnya dilanggar.
"Usul itu juga tidak boleh diperbaiki kerana kelemahan asas dalam struktur dan hujah. Lebih penting, usul tersebut juga gagal menyatakan dengan jelas sama ada dakwaan pelanggaran Peraturan Tetap 36(10) merujuk kepada unsur derhaka, hasutan melawan kerajaan atau isu perkauman yang masing-masing memerlukan pembuktian dan pertimbangan berbeza," ujar biro itu menerusi satu kenyataan.
Menurut Biro Komunikasi AMANAH itu lagi, tindakan penggantungan terhadap ADN yang enggan akur kepada keputusan Speaker bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Sebaliknya, ia adalah mekanisme disiplin bagi menjamin kelancaran sidang mengelakkan kekecohan dan memastikan fokus kekal kepada agenda rakyat.
"Siapa Sebenarnya ‘mematikan demokrasi’? Ironinya, tindakan mempertikaikan keputusan Speaker secara berterusan, disertai dengan kegagalan mematuhi peraturan Dewan, adalah contoh sebenar yang merosakkan amalan demokrasi.
"Seperti yang dibangkitkan oleh ADN Seri Serdang, Abbas Azmi, mesyuarat Dewan berjalan dengan baik dan terkawal malah terdapat kekosongan kerusi dalam kalangan pembangkang sendiri pada sesi petang menunjukkan isu sebenar bukanlah ‘demokrasi mati’, tetapi komitmen yang longgar terhadap tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
"Dakwaan ‘Demokrasi Mati’ di Selangor adalah tidak berasas dan bersifat retorik politik semata-mata dan sebaliknya apa yang berlaku membuktikan bahawa peraturan ditegakkan, institusi dihormati dan disiplin dipelihara. Inilah wajah sebenar demokrasi matang," kata biro itu.
Pada 27 April lalu, media melaporkan Dr Afif Bahardin (PN-Taman Medan) dan Mohd Rafiq Mohd Abdullah (PN-Kuang) digantung selama tiga hari oleh Speaker DUN Selangor, Lau Weng San selepas mereka bangkit mempertikai Speaker menolak notis usul untuk membawa Wong Siew Ki (PH-Seri Kembangan) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor.
Keesokan harinya, seorang lagi ADN PN digantung selama dua hari iaitu Hilman Idham (PN-Gombak Setia) selepas Ketua Angkatan Anak Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu meninggalkan tempat duduknya apabila permintaannya untuk mengemukakan soalan tambahan didakwa tidak dilayan.




Comments