top of page

Pelarasan perbelanjaan tidak jejas perkhidmatan penting rakyat - MOF

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Pelarasan perbelanjaan mengurus yang sedang dilaksanakan Kementerian Kewangan (MOF) tidak akan menjejaskan perkhidmatan asas kepada rakyat, sebaliknya hanya melibatkan pengurangan perbelanjaan tidak kritikal.


Kementerian dalam kenyataan berkata, semua perbelanjaan teras termasuk sektor keselamatan, kesihatan dan pendidikan akan diteruskan seperti yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2026, sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.


"Ini meliputi perbelanjaan teras untuk kementerian kritikal seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan yang merupakan antara kementerian yang mempunyai peruntukan tertinggi dalam Belanjawan tahun ini," kata kenyataan itu hari ini.


MOF menjelaskan pelarasan tersebut merangkumi beberapa langkah penjimatan termasuk penangguhan penganjuran acara, mengehadkan perjalanan serta latihan ke luar negara, pengurangan penggunaan utiliti, pengoptimuman rizab simpanan agensi serta penangguhan pengisian jawatan bukan kritikal.


Jelas kementerian lagi, langkah berkenaan dilaksanakan secara bersasar dan berhemah sebagai sebahagian daripada pendekatan pengurusan fiskal bertanggungjawab bagi memastikan sumber kerajaan dapat dioptimumkan tanpa menjejaskan perkhidmatan kritikal kepada rakyat.


Tambah MOF, pelarasan ini juga bertujuan mewujudkan ruang fiskal bagi membiayai bantuan serta subsidi bersasar khusus kepada golongan dan sektor rentan yang terkesan akibat krisis bekalan global yang semakin mencabar.


Semalam MOF mengesahkan bahawa panduan telah dikeluarkan kepada semua kementerian dan agensi untuk menyusun semula keutamaan perbelanjaan mengurus selaras dengan cabaran krisis bekalan global dan peningkatan tanggungan subsidi.


Kementerian berkata langkah itu sebagai sebahagian daripada pendekatan pengurusan fiskal berhemat bagi mengekalkan sokongan kepada rakyat secara berterusan tanpa menjejaskan kestabilan ekonomi.


Dalam pada itu, MOF menegaskan pelarasan perbelanjaan akan dilaksanakan secara seimbang dengan memastikan perkhidmatan asas terus dibiayai, sokongan kepada ekonomi kekal mencukupi serta kedudukan kewangan negara terus kukuh dalam tempoh mencabar ini.


"MOF juga komited untuk terus memperkukuh keupayaan tindak balas krisis dengan meneliti pendekatan yang seimbang dengan memastikan perkhidmatan asas terus dibiayai, sokongan kepada ekonomi kekal mencukupi dan pada masa sama kedudukan kewangan negara kekal kukuh," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page