top of page

PKORM, SEKPUR serah memorandum zahir taat setia Yang di-Pertuan Besar N Sembilan

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Pengerusi SEKPUR, Mustapa Mansor menyerahkan memorandum kepada wakil Yang di-Pertuan Besar
Pengerusi SEKPUR, Mustapa Mansor menyerahkan memorandum kepada wakil Yang di-Pertuan Besar

Kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM) dan Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) hari ini tampil mempersembahkan memorandum ‘Bantahan Cubaan Jatuhkan Kerajaan Negeri Sembilan’ ke Istana Hinggap, Seremban sambil memberi amaran amarah rakyat terhadap gerakan politik ‘tebuk atap’ yang boleh menggugat kestabilan negeri.


Timbalan Pengerusi SEKPUR, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, memorandum yang diserahkan kepada pihak di Istana Hinggap itu antara lain menzahirkan taat setia pihaknya dalam mempertahankan kedaulatan Institusi Diraja dan kestabilan politik daripada sebarang gerakan yang berpotensi mencetuskan kesengsaraan rakyat.


Selain itu, katanya, intipati memorandum berkenaan turut menekankan usaha mempertahankan kedaulatan adat serta keputusan Dewan Keadilan berhubung masalah Undang di negeri berkenaan.


"SEKPUR dan NGO lain memantau rapat cubaan pihak tertentu yang cuba mempertikaikan ketetapan Dewan Keadilan dan undang-undang Negeri Sembilan.


"Patik-patik berpendirian bahawa sebarang tindakan yang membelakangi keputusan Dewan Keadilan adalah satu bentuk penderhakaan terhadap sistem Adat Perpatih yang menjadi teras keutuhan negeri.


"Pihak SEKPUR dan NGO yang lain mengecam sebarang naratif luar sama ada di media sosial atau oleh orang politik untuk menggugat kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai punca kedaulatan negeri," katanya.


Beliau ditemui pemberita di perkarangan Istana Hinggap sejurus selepas menyerahkan memorandum yang turut disokong bersama antaranya oleh Pertubuhan Media Digital Malaysia (MEMO), Pertubuhan Otai MADANI Pulau Pinang, dan beberapa NGO lain.


Turut hadir dalam penyerahan memorandum itu adalah Pengerusi SEKPUR, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa dan Ketua Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embon.


Dalam pada itu, Razali berkata pihaknya mengambil maklum kewujudan gerakan politik tidak bertanggungjawab yang cuba menukar pimpinan Kerajaan Negeri melalui saluran tidak sah, iaitu gerakan ‘tebuk atap’.


Beliau menegaskan, tindakan tersebut bukan sahaja menghina mandat yang diberikan oleh rakyat, malah bakal mengheret Negeri Sembilan ke kancah ketidakstabilan ekonomi di saat rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup yang mencabar.


"Kami dan NGO lain yang menggerakkan kesedaran rakyat di ruang siber memberi jaminan kepada Tuanku Muhriz bahawa kami akan melawan fitnah, mematahkan segala propaganda yang cuba melaga-lagakan rakyat dengan pihak istana


"Kami akan terus memberi kefahaman kepada rakyat jelata mengenai kepentingan mengekalkan Kerajaan Perpaduan dan kemakmuran bersama.


"Oleh itu, patik dengan penuh harapan memohon ihsan dan kebijaksanaan Tuanku Muhriz untuk terus menjadi payung pelindung kepada kestabilan negeri agar segala cubaan politik yang tidak demokratik ini dapat dipatahkan demi kesejahteraan rakyat di Negeri Sembilan," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page