AMANAH gesa UMNO jelas pendirian isu 14 ADUN N Sembilan menarik sokongan
- Redzuan Shamsudin

- 1 hour ago
- 2 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa UMNO Pusat menyatakan pendirian sebenar berhubung tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di Negeri Sembilan yang menarik sokongan dari Kerajaan Negeri sehingga mencetuskan kemelut politik.
Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil (gambar) berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan media dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO semalam serta cadangan mengadakan perbincangan antara biro politik kedua-dua parti.
"Dengan hormat, AMANAH berpandangan bahawa perbincangan yang dicadangkan sepatutnya diadakan sebelum tindakan berunsur khianat dan tebuk atap dilakukan oleh 14 ADUN UMNO Negeri Sembilan
"Cadangan untuk mengadakan perbincangan setelah menikam rakan gabungan di belakang adalah tidak munasabah," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tindakan 14 ADUN UMNO yang didakwa menjalin kerjasama dengan lima ADUN pembangkang Perikatan Nasional bagi membentuk kerajaan baharu pula amat tidak dapat diterima.
"Ianya tidak boleh ditafsirkan selain daripada tindakan khianat dan berniat jahat, walaupun telah ada “Perjanjian Persefahaman” yang dirujuk dalam Kenyataan Media (UMNO Pusat)," katanya.
Sehubungan itu, AMANAH mengesyorkan agar tindakan menarik sokongan terhadap Menteri Besar dikutuk keras serta ditarik balik, selain mereka yang terlibat diberikan amaran keras.
Beliau menegaskan bahawa terma hilang sokongan terhadap Menteri Besar adalah bersamaan dengan menjejaskan Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan sekali gus.
Dalam masa sama, Faiz menegaskan bahawa AMANAH dan PH tetap mempertahankan institusi Raja dan adat di Negeri Sembilan, walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam menangani kemelut tersebut.
"Demi menjaga imej Institusi Raja dan Adat, AMANAH lebih cenderung kepada kaedah penyelesaian secara terhormat melalui proses perundingan dan perbincangan, berbanding proses jatuh-menjatuh dan cantas-mencantas yang ingin diamalkan," katanya.
Beliau turut menggesa UMNO negeri mematuhi titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan agar Datuk Seri Aminuddin Harun meneruskan tugas sebagai Menteri Besar.
AMANAH dalam pada itu menyeru semua pihak memberi tumpuan kepada isu rakyat serta mengelakkan politik bersifat oportunis.
"AMANAH mengajak UMNO untuk terus bergerak ke hadapan dan mengukuhkan gabungan Perpaduan serta bersama Pakatan Harapan menguruskan negara dengan baik supaya ekonomi Malaysia kekal stabil dalam keadaan ekonomi global yang sedang meruncing.
"AMANAH mengesyorkan semua pihak menumpu kepada penyelesaian masalah rakyat dan jauhkan diri daripada politik murahan yang bersifat opportunis dan pentingkan diri dan kelompok," tegasnya.




Comments