Dari Perang Ke Pam Minyak: Krisis Bahan Api Diatasi Bersama, Bukan Dipolitikkan
- Hasbul Ahmad

- 10 minutes ago
- 5 min read

ANALISIS: Konflik geopolitik di Asia Barat, serangan Israel ke atas Iran dan gangguan di Selat Hormuz kini mencetuskan satu krisis tenaga global yang semakin meruncing. Laluan strategik di Selat Hornuz yang biasanya mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia telah terganggu dan menyebabkan kejutan besar kepada rantaian bekalan tenaga antarabangsa. Kebergantungan tinggi negara-negara Asia terhadap minyak import dari Timur Tengah menjadikan rantau ini antara paling terkesan pada peringkat awal, sebelum impaknya merebak ke Eropah dan seluruh dunia.
Negara Asia terkesan
Di Asia Tenggara, kesan krisis semakin nyata. Portal International Business Times melaporkan beberapa negara berdepan krisis tenaga. Antaranya Vietnam, negara yang mendapatkan 85 peratus import minyak mentahnya dari Timur Tengah dengan hampir keseluruhannya dari Kuwait telah mengumumkan rancangan membeli sekitar 4 juta tong dari pembekal luar Timur Tengah. Namun anggaran menunjukkan jumlah itu hanya mencukupi untuk enam hari penggunaan. Jumlah rizab keseluruhan negara itu dianggarkan sekitar 20 hari sahaja dan pihak berkuasa Vietnam menggesa majikan membenarkan kerja dari rumah bagi mengurangkan penggunaan bahan api.
Selain itu Bangladesh yang sudah pun menghadapi defisit gas melebihi 1,300 juta kaki padu sehari sebelum perang, ketika data menunjukkan 72 peratus import gas asli cecair (LNG) negara itu datang dari Qatar dan Emiriah Arab Bersatu. Dengan kapasiti simpanan terhad, penutupan Selat Hormuz bakal menjadikan sektor tenaga Bangladesh ke arah apa yang digelar sebagai “kemusnahan segera”. Natijahnya, kerajaan Bangladesh telah menutup universiti dan meletakkan tentera bagi mengawal depot minyak.

Manakala Filipina berada dalam kedudukan rapuh kerana negara itu kini hanya mempunyai bekalan sekitar 45 hingga 50 hari. Manila kini menilai tawaran untuk membeli satu hingga dua juta tong kecemasan serta mengubah operasi pejabat kerajaan kepada minggu kerja empat hari.
Kembali kepada arang batu
Lebih membimbangkan, krisis ini bukan sekadar gangguan sementara tetapi berpotensi mencetuskan perubahan struktur dalam landskap tenaga dunia. Sesetengah negara mula kembali bergantung kepada arang batu sebagai penyelesaian jangka pendek, walaupun ia bercanggah dengan agenda perubahan iklim. Dalam masa sama, krisis ini juga mempercepatkan peralihan kepada tenaga alternatif seperti nuklear dan kenderaan elektrik sebagai langkah jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada minyak.
Secara keseluruhannya, krisis tenaga 2026 memperlihatkan bagaimana konflik geopolitik mampu menggoncang kestabilan ekonomi global dalam tempoh yang singkat. Ia menjadi peringatan jelas bahawa keselamatan tenaga bukan lagi isu domestik semata-mata, tetapi berkait rapat dengan kestabilan politik antarabangsa. Jika tiada penyelesaian segera terhadap konflik di Asia Barat, dunia berisiko berdepan krisis ekonomi yang lebih besar, menyerupai krisis minyak era 1970-an atau mungkin lebih buruk.
Cabaran rakyat biasa
Krisis ini memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat biasa di rantau ini. Akhbar The Nation melaporkan di wilayah Nakhon Phanom, di Thailand, situasi menjadi semakin kritikal apabila penduduk terpaksa beratur sehingga lebih 3 kilometer semata-mata untuk mendapatkan bahan api. Ada yang menunggu sehingga tiga hingga empat jam, malah sanggup berjaga sepanjang malam kerana bekalan amat terhad dan hanya tersedia pada hari tertentu. Setiap individu pula dihadkan kepada pembelian maksimum 1,000 baht, menunjukkan betapa seriusnya kawalan bekalan yang terpaksa dilaksanakan.

Golongan paling terjejas ialah para petani. Mereka bukan sahaja bergantung kepada bahan api untuk kenderaan, tetapi juga untuk menggerakkan jentera pertanian seperti traktor dan pam air. Ramai dilihat membawa tong minyak 30 liter dan beratur bersama ratusan yang lain, namun masih tidak pasti sama ada mereka akan memperoleh bekalan. Tanpa bahan api, aktiviti pertanian terhenti, pendapatan terjejas, dan kehidupan harian menjadi semakin sukar. Keadaan ini menggambarkan bagaimana krisis tenaga global akhirnya, memberi kesan langsung kepada ekonomi rakyat marhaen.
Masalah ini diburukkan lagi oleh gangguan logistik apabila penghantaran bahan api hanya dibuat setiap dua hari disebabkan jarak jauh dari loji penapisan serta pengurangan kuota bekalan. Situasi ini bukan sahaja berlaku di Thailand, malah turut memberi kesan kepada negara jiran seperti Laos yang terpaksa mengurangkan hari persekolahan, serta sektor pengangkutan yang mula memberi amaran tentang kenaikan tambang dan pengurangan perkhidmatan.
Krisis kemanusiaan
Isu geopolitik dan ekonomi global ini nampak boleh berkembang menjadi krisis kemanusiaan di peringkat akar umbi. Ini memperlihatkan betapa sistem bekalan tenaga dunia yang bergantung kepada import akan terdedah kepada kejutan luar biasa. Jika konflik ini berlarutan, bukan sahaja ekonomi global akan terjejas, malah kehidupan jutaan rakyat di Asia akan terus terhimpit dalam ketidaktentuan yang semakin meruncing.
Namun begitu, kerajaan Malaysia dilihat mengambil pendekatan proaktif dan terkawal dalam menghadapi situasi ini. Melalui penyelarasan oleh Kementerian Ekonomi Malaysia dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, beberapa langkah strategik telah digerakkan bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil.
Antaranya termasuk memperkukuh rizab petroleum strategik, memantau rantaian bekalan bahan api secara berterusan, serta memastikan pengeluaran domestik oleh Petronas berada pada tahap optimum bagi menampung keperluan tempatan.
Kempen penjimatan tenaga
Selain itu, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pengurusan permintaan tenaga bagi mengelakkan pembaziran dan mengurangkan tekanan terhadap bekalan. Kempen penjimatan tenaga sedang dipergiatkan, khususnya dalam sektor industri dan penggunaan domestik. Dalam masa sama, mekanisme subsidi bahan api terus diselaraskan secara bersasar bagi melindungi golongan berpendapatan rendah daripada kesan kenaikan harga global, tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara secara keseluruhan.

Secara keseluruhannya, krisis tenaga global 2026 menjadi ujian besar kepada keupayaan negara mengurus ketidaktentuan luar. Walaupun Malaysia tidak terkesan seteruk negara lain, langkah awal dan tersusun oleh kerajaan membuktikan kesiapsiagaan negara dalam memastikan kestabilan bekalan tenaga dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. Jika pendekatan ini diteruskan secara konsisten, Malaysia berpotensi muncul sebagai antara negara yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi krisis tenaga global yang semakin kompleks.
Masa untuk bersatu, bukan berpolitik
Justeru perlu difahami bahawa peningkatan harga minyak bukanlah berpunca daripada keputusan mana-mana kerajaan yang sewenang-wenangnya menaikkan harga, sebaliknya ia didorong oleh faktor pasaran global yang sentiasa berubah. Krisis tenaga yang berlaku hari ini akibat konflik geopolitik dan gangguan bekalan dunia membuktikan bahawa harga minyak sememangnya dipengaruhi oleh situasi antarabangsa yang berada di luar kawalan sesebuah negara.
Ketua Pemuda UMNO dalam kenyataannya baru-baru ini menyebut, realiti ini sering disalah tafsir dan dijadikan bahan politik. Hakikat bahawa isu ini bukanlah isu tempatan semata-mata, malah sebenarnya isu global memerlukan pendekatan bersama. Dalam keadaan dunia berdepan ketidaktentuan seperti sekarang, sama ada pihak baik kerajaan mahupun pembangkang seharusnya berganding bahu mencari penyelesaian, bukannya menunggang isu untuk mengelirukan pemikiran rakyat.
Inisiatif-inisiatif yang bertujuan menghimpunkan pakar ekonomi, profesional industri minyak dan gas serta pemain industri berkaitan bagi membincangkan secara mendalam impak kenaikan harga minyak serta langkah penyelesaian yang praktikal perlu dilakukan. Manakala platform tersebut boleh menjadi ruang untuk semua pihak duduk semeja, bertukar pandangan dan merangka cadangan yang boleh diangkat kepada kerajaan demi kepentingan rakyat Malaysia.
Ini bukan masanya untuk sama ada para pemimpin atau enyokong parti bertelagah. Sebaliknya inilah masanya untuk membuat keputusan terbaik demi rakyat. Pendekatan yang dibawa bukan sekadar retorik atau janji kosong, tetapi usaha untuk mengemukakan penyelesaian yang realistik dan berkesan dalam menghadapi cabaran krisis tenaga global yang semakin mencabar.




Comments