top of page

Nik Nazmi letak jawatan: Kebajikan warga Setiawangsa terus dijaga

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh (gambar) memberi jaminan kebajikan dan perkhidmatan kepada penduduk Setiawangsa akan terus berjalan seperti biasa susulan pengumuman peletakan jawatan Ahli Parlimen kawasan itu, Nik Nazmi Nik Ahmad.


Beliau berkata semua perkhidmatan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan akan diteruskan tanpa gangguan meskipun berlaku perubahan landskap politik melibatkan kerusi Parlimen berkenaan.


"Saya telah meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud supaya menyokong Pejabat DBKL Cawangan Setiawangsa dalam mempergiat usaha menangani isu-isu tempatan serta memastikan keprihatinan terhadap aduan dan kebimbangan penduduk terus diperkukuhkan," katanya dalam hantaran di media sosial.


Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, tambahan tenaga kerja juga akan disediakan bagi memastikan segala urusan berkaitan penduduk dapat diuruskan dengan lebih berkesan sepanjang tempoh tersebut.


Beliau turut memaklumkan penduduk boleh terus mendapatkan bantuan melalui Pejabat DBKL Cawangan Setiawangsa di Wangsa Maju menerusi kunjungan terus, telefon atau e-mel.


"Saya juga akan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk meneruskan usaha memelihara Bukit Dinding agar kawasan hijau itu terus kekal sebagai khazanah alam untuk warga Kuala Lumpur," ujarnya lagi.


Dalam perkembangan berkaitan, Nik Nazmi bersama Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli semalam mengumumkan keluar daripada KEADILAN serta mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing.


Kedua-dua bekas menteri itu turut memaklumkan mereka akan menghantar surat rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memaklumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa dan Pandan berkuat kuasa hari ini.


Pengumuman tersebut dibuat dalam majlis “Pengumuman Hala Tuju Politik” di Petaling Jaya yang turut menyaksikan Rafizi dan Nik Nazmi mengambil alih Parti Bersama Malaysia sebagai platform politik baharu mereka.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page