top of page

Bukit Bintang Berselawat 3.0 himpun ribuan, dakwah subur di tengah kota

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 57 minutes ago
  • 2 min read
Dr Zulkifli di tengah tengah rakyat yang hadir untuk program Bukit Bintang Berselawat 3.0
Dr Zulkifli di tengah tengah rakyat yang hadir untuk program Bukit Bintang Berselawat 3.0

Program “Bukit Bintang Berselawat 3.0” berjaya menghimpunkan ribuan umat Islam di tengah ibu kota Kuala Lumpur, sekali gus mencerminkan semangat kecintaan kepada Rasulullah s.a.w serta keharmonian masyarakat Malaysia.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, suasana di Bukit Bintang yang kebiasaannya sibuk pada malam minggu kelmarin bertukar tenang dengan alunan selawat.


"Malam minggu kali ini terasa cukup berbeza. Bukit Bintang yang biasanya sibuk dan ‘hustle’ bertukar tenang dengan laungan selawat daripada ribuan hadirin," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, program selawat itu menyaksikan penyertaan masyarakat tanpa mengira latar belakang, hadir dengan satu tujuan iaitu menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w.


"Alhamdulillah, sempat bersama-sama berselawat ke atas Rasulullah Sallallahu 'alayhi wa-sallam sambil berjalan bersama orang ramai.


"Tiada protokol, tiada jurang, semua hadir dengan satu rasa cinta kepada Baginda," katanya.


Ribuan khalayak berkumpul untuk program selawat di Bukit Bintang
Ribuan khalayak berkumpul untuk program selawat di Bukit Bintang

Menurut beliau, pihaknya bersama pasukan di JPM (Hal Ehwal Agama) turut menggerakkan usaha dakwah lapangan di kawasan tersebut sejak dua tahun lalu.


Dalam masa sama, beliau memaklumkan solat Isyak berjemaah turut dilaksanakan di Outreach Oasis Bukit Bintang (OOBB), sebuah pusat dakwah yang aktif menganjurkan pelbagai program kerohanian dan kesenian.


Beliau turut mencadangkan agar Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan mempertimbangkan pelaksanaan solat Jumaat di lokasi tersebut sementara menunggu kemudahan lebih besar.


"Bukit Bintang Berselawat 3.0 membuktikan Malaysia masih aman dan harmoni. Dakwah boleh disebarkan di mana-mana, termasuk di tengah kota," katanya.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kawalan keselamatan sepanjang program berlangsung.


"Program berlangsung dengan aman, tenang dan penuh damai hasil komitmen serta profesionalisme anggota PDRM," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page