top of page

Sasaran PN tawan Pahang bukan ancaman kecil - Setiausaha MPN KEADILAN Pahang

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 3 minutes ago
  • 2 min read

KEADILAN Pahang mengakui sasaran Perikatan Nasional (PN) untuk menawan sehingga 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 10 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.


Setiausaha Majlis Pimpinan KEADILAN Pahang, Zukri Aksah (gambar) berkata, parti itu kini memberi fokus kepada usaha memperkukuh kekuatan dalaman dan jentera parti susulan perubahan corak politik yang turut dirasai di negeri itu.


"Secara pentadbirannya, kerajaan perpaduan BN-PH di Pahang nampak stabil, malah mungkin lebih efektif berbanding banyak negeri lain.


"Tetapi secara politik, gelombang yang berlaku di negeri lain itu juga berlaku di sini. Sebab itu KEADILAN Pahang sedang memperkukuh ‘kuda-kuda sendiri’," katanya.


Beliau berkata demikian ketika mengulas kedudukan politik semasa di Pahang menjelang PRU16.


Menurut Zukri, pencapaian PN pada PRU lalu membuktikan gabungan itu mempunyai pengaruh yang tidak boleh dipandang mudah, khususnya di Pantai Timur.


"PN di Pantai Timur, termasuk di Pahang, harus dibaca sebagai Pas. Bila melihat keadaan di Kelantan dan Terengganu, kita perlu akui sasaran mereka itu ada kemungkinan untuk dicapai.


"Dalam PRU lalu, PN menang 17 kerusi DUN, manakala UMNO juga 17 dan PH hanya lapan kerusi," katanya.


Beliau berkata, jika berlaku pertandingan tiga penjuru pada PRU akan datang, PH perlu mencari strategi bagi meningkatkan jumlah kemenangan kerusi dan mengelakkan mana-mana blok memperoleh majoriti mudah.


Dalam masa sama, katanya, semua komponen PH termasuk Amanah perlu memainkan peranan lebih berkesan bagi membantu gabungan itu menambah kerusi kemenangan.


Mengulas isu kos sara hidup yang sering dimainkan pembangkang, Zukri berkata KEADILAN memilih pendekatan menjelaskan keadaan ekonomi semasa secara terbuka kepada rakyat.


Katanya, rakyat perlu memahami kesan ketidaktentuan geopolitik dunia terhadap ekonomi negara serta langkah kerajaan dalam mengawal tekanan harga barangan asas.


"Kita perlu jujur dengan rakyat tentang apa yang berlaku di dunia dan kesannya kepada negara.


"Dalam keadaan dunia tidak stabil, saya kira kerajaan masih berjaya mengawal harga barangan asas dengan baik berbanding sebelum ini," katanya.


Beliau turut menegaskan KEADILAN Pahang tidak pernah berhenti turun padang membantu rakyat yang terkesan dengan tekanan ekonomi.


Sementara itu, mengulas kritikan terhadap kerjasama KEADILAN dan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, Zukri berkata politik semasa menuntut parti-parti membentuk koalisi kerana sukar untuk mana-mana parti memperoleh majoriti secara bersendirian.


Katanya, situasi itu bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi juga di banyak negara lain.


"Kalau selepas PRU nanti kita membentuk kerajaan sekali pun, ia tetap akan dalam bentuk koalisi.


"Ia bukan soal melupakan prinsip, tetapi soal menentukan keutamaan demi kestabilan dan kerukunan negara," katanya.


Menurut beliau, walaupun pada peringkat awal terdapat rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi kedua-dua pihak, hubungan dalam Kerajaan Perpaduan kini semakin matang selepas lebih tiga tahun pentadbiran bersama.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page