top of page

‘DAP vs Jho Low’: Saifuddin bidas Onn Hafiz

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) mempersoalkan pendirian Menteri Besar Johor Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi yang terus menolak kerjasama dengan DAP yang menjadi sebahagian parti dalam Kerajaan Perpaduan.


Beliau berkata rakyat Johor berhak mendapat penjelasan mengapa DAP terus dijadikan sasaran politik sedangkan negara pernah berdepan skandal jauh lebih besar melibatkan isu integriti, tadbir urus dan penyalahgunaan wang awam.


"Saya mahu bertanya kepada Onn Hafiz, yang mana lebih dahsyat, duduk semeja dengan DAP demi kestabilan pentadbiran negeri atau berganding bahu dengan Jho Low yang dikaitkan dengan skandal berbilion ringgit wang rakyat?


"Adakah Onn Hafiz mahu meyakinkan rakyat bahawa bekerjasama dengan sebuah parti politik yang dipilih secara demokratik lebih buruk daripada dikaitkan dengan individu yang menjadi simbol salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara?" soalnya dalam kenyataan.


Menerusi kenyataan tersebut, Saifuddin turut mengingatkan bahawa Onn Hafiz pernah tampil sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan membabitkan bekas Perdana Menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2019.


Ketika memberi keterangan, Onn Hafiz menurutnya mengakui syarikat miliknya, Vital Spire, menerima cek bernilai RM240,000 bagi membiayai operasi portal Malaysian Digest.

Oleh itu, beliau mendakwa hairan melihat Onn Hafiz memilih untuk terus menyerang DAP.


"Jika Onn Hafiz benar-benar mahu bercakap soal mudarat kepada rakyat, maka ukurannya mestilah integriti dan kepentingan negara, bukan naratif kebencian terhadap sebuah parti politik," jelasnya.


Sementara itu Saifuddin mengingatkan Onn Hafiz bahawa rakyat kini semakin matang dalam membuat penilaian dan tidak lagi mudah dipengaruhi sentimen politik yang sempit.


Justeru beliau menggesa tumpuan diberikan kepada agenda yang lebih besar termasuk pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, pelaburan berkualiti dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

"Cukuplah menyuapkan rakyat dengan retorik politik yang berulang-ulang sedangkan rakyat mahu melihat kejujuran, integriti dan kesediaan seseorang pemimpin berdepan dengan rekod masa lalu secara terbuka.


"Sudah sampai masanya rakyat Johor disajikan dengan agenda yang lebih besar seperti pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, pelaburan berkualiti dan kesejahteraan rakyat yang lebih menyeluruh


"Rakyat Johor sudah cukup matang untuk menilai. Mereka tahu membezakan antara perbezaan ideologi politik dengan isu yang melibatkan kehilangan berbilion ringgit wang rakyat yang telah mencalar nama baik negara di mata dunia," tegas Saifuddin.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page