top of page

Cheah mahu pastikan limpahan JS-SEZ dinikmati penduduk DUN Kukup

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 8 minutes ago
  • 2 min read
Cheah menyantuni penjual di pasar malam di DUN Kukup. Foto: FB Cheah Chee Hong
Cheah menyantuni penjual di pasar malam di DUN Kukup. Foto: FB Cheah Chee Hong

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN N56 Kukup mahu memastikan penduduk kawasan itu tidak tercicir daripada menikmati limpahan ekonomi hasil pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).


Cheah Chee Hong berkata, peningkatan kemasukan pelancong dari Singapura terutama apabila Sistem Transit Rapid (RTS) Link mula beroperasi dijangka meletakkan Kukup sebagai antara destinasi pelancongan dan ekonomi utama dalam ekosistem JS-SEZ sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk tempatan.


"Saya mahu memastikan manfaat pembangunan ini dirasai penduduk Kukup, bukan hanya tertumpu di kawasan bandar," katanya dalam kenyataan.


Menyentuh mengenai fokusnya sebagai wakil rakyat sekiranya diberikan mandat oleh rakyat, Chee Hong berkata beliau akan menumpukan usaha menaik taraf infrastruktur asas termasuk jalan raya, lampu jalan, kawasan parkir, capaian internet, bekalan elektrik dan bekalan air.


Langkah tersebut jelasnya penting bagi menyokong semula pertumbuhan ekonomi setempat yang menjadi antara pintu kemasukan ke dalam negara itu.


Dalam usaha merancakkan aktiviti ekonomi, Cheah turut mencadangkan pembinaan sebuah pasar malam berskala besar berhampiran Terminal Feri Kukup yang mampu menempatkan antara 100 hingga 200 gerai.


Katanya, inisiatif itu bukan sahaja mampu mewujudkan peluang pekerjaan, malah membuka ruang kepada lebih ramai usahawan tempatan, khususnya golongan muda, membangunkan perniagaan di kawasan sendiri.


"Saya turut akan membantu komuniti nelayan mendapatkan pelbagai bantuan yang disediakan Kerajaan MADANI, termasuk subsidi diesel, Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN), insentif hasil tangkapan ikan serta bantuan menaik taraf bot.


"Masih terdapat nelayan yang kurang mendapat maklumat atau berdepan kesukaran dalam proses permohonan bantuan, dan saya bersedia memainkan peranan sebagai pemudah cara," katanya.


Untuk rekod, DUN Kukup merupakan kegagalan mutlak model ekonomi BN di Johor. Kawasan ini bersempadan laut dengan Singapura dan terletak bersebelahan ibu negeri Johor Bahru.


Namun kadar kemiskinannya masih tinggi, pekan 'koboi' masih mendominasi pemandangan luar bandar serta tidak banyak industri dibawa masuk untuk penduduk tempatan bekerja, sementara sektor pelancongan tidak dimajukan dengan sebaik baiknya oleh Kerajaan Negeri.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page