top of page

Tubuh Makmal Teknologi Berdaulat perkasa bakat AI tempatan - AMK Wilayah

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
35 minutes ago
2 min read

Kerajaan digesa menubuhkan 'Makmal Teknologi Berdaulat' di agensi berkaitan bagi memperkasa bakat kecerdasan buatan (AI) tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada vendor luar dalam pembangunan aplikasi digital sektor awam.


Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Wilayah Persekutuan Jeremy Ang (gambar atas) berkata langkah itu boleh menjadi pemangkin kepada perubahan menyeluruh ke arah pembangunan teknologi secara dalaman, pemilikan kod sumber tempatan serta perlindungan data strategik negara.


Menurutnya, kerajaan wajar menilai semula amalan penyumberan luar pembangunan perisian awam yang menelan belanja besar tetapi berisiko menghasilkan aplikasi tidak cekap, sarat pepijat dan belum mencapai tahap kesediaan yang memuaskan.


"Daripada terus membazirkan dana awam membayar agensi luaran yang mempunyai kitaran pembangunan lambat, penubuhan "Makmal Teknologi Berdaulat" di agensi berkaitan mampu mencungkil bakat graduan sains komputer dan pembangun AI muda tempatan.


"Dengan memanfaatkan alatan kejuruteraan berbantu AI moden (vibe coding), pasukan tempatan yang kecil mampu menyampaikan fungsi berkualiti tinggi dalam hitungan hari, memegang hak milik kod (IP retention), dan membendung isu penghijrahan pakar (brain drain)," katanya dalam kenyataan.



Jeremy berkata penggunaan alatan kejuruteraan berbantu AI moden membolehkan pasukan pembangunan kecil menghasilkan fungsi berkualiti dalam tempoh lebih singkat, selain memastikan pemilikan harta intelek dan kod sumber kekal di tangan negara.


“Dengan memanfaatkan alatan kejuruteraan berbantu AI moden, pasukan tempatan yang kecil mampu menyampaikan fungsi berkualiti tinggi dalam hitungan hari, memegang hak milik kod dan membendung isu penghijrahan pakar,” katanya.


Dalam pada itu, Jeremy berkata aplikasi digital kerajaan perlu menyediakan akses kepada fungsi teras tanpa mewajibkan pengguna mendaftar akaun atau menggunakan gerbang log masuk syarikat teknologi asing.


Beliau berkata ciri seperti semakan trafik lebuh raya, paparan kamera litar tertutup (CCTV) masa nyata dan navigasi laluan sewajarnya boleh diakses secara terus bagi memudahkan urusan rakyat.


Bagaimanapun, bagi perkhidmatan yang memerlukan pengesahan identiti seperti laporan kecemasan dan aduan kerosakan jalan menerusi MyJalan, beliau mencadangkan integrasi terus dengan MyDigital ID bagi memperkukuh perlindungan privasi serta memastikan pengurusan data tertakluk kepada undang-undang negara.


Jeremy turut menggesa Malaysia mengurangkan kebergantungan terhadap penyedia pemetaan asing termasuk perbelanjaan yuran pelesenan antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) yang tinggi.


Mengambil contoh Korea Selatan yang mempunyai platform pemetaan tempatan seperti KakaoMap dan Naver Maps, beliau berkata Malaysia perlu membangunkan enjin pemetaan dan data spatial sendiri dengan memanfaatkan data tempatan daripada agensi berkaitan, termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).


Menurutnya pendekatan itu berpotensi memastikan data pergerakan dan trafik domestik diurus serta dihoskan secara selamat di dalam negara, sekali gus mengukuhkan kawalan terhadap infrastruktur digital strategik.


Beliau menegaskan pembangunan TuJu perlu melangkaui usaha menyediakan aplikasi navigasi alternatif sebaliknya menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem teknologi tempatan yang mampu mengurangkan pembaziran dana awam dan meningkatkan daya saing negara.


“Rakyat berhak mendapat perkhidmatan digital awam yang berfungsi, selamat dan berkaliber tinggi, bukannya produk percubaan yang disumberkan luar.


“Dengan memberi kepercayaan penuh kepada pembangun muda Malaysia yang dilengkapi alatan AI moden, kerajaan bukan sahaja dapat menghentikan pembaziran kewangan malah mampu melindungi data spatial negara dan membina keupayaan teknologi tempatan yang berdaya saing,” katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page