top of page

Calon PH perjuangkan infrastruktur digital menyeluruh di Kukup

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • Jul 3
  • 2 min read
Chee Hong bertemu pengundi di warung kampung yang amat sederhana di DUN Kukup
Chee Hong bertemu pengundi di warung kampung yang amat sederhana di DUN Kukup

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN N56 Kukup, Cheah Chee Hong komited memastikan pembangunan infrastruktur digital yang lebih menyeluruh di kawasan tersebut.


Beliau berikrar akan memastikan setiap komuniti menikmati akses internet yang pantas, stabil dan berkualiti sekiranya diberikan mandat mewakili penduduk Kukup.


Dalam masa sama beliau turut mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta syarikat-syarikat telekomunikasi mengambil tindakan segera dengan menaik taraf rangkaian 4G di beberapa lokaliti di Kukup yang mengalami masalah capaian internet yang dianggap kritikal.


Ujian di lima lokasi utama mendapati kualiti sambungan internet berada pada tahap yang tidak memuaskan dan menjejaskan kehidupan serta aktiviti ekonomi penduduk setempat.


"Antara lokasi yang dikenal pasti ialah Terminal Bas dan Teksi Kukup yang merekodkan kegagalan DNS dengan bacaan ping mencecah 2,064 milisaat serta jitter 1,516 milisaat, sekali gus menyebabkan sambungan internet hampir tidak boleh digunakan.


"Di Kampung Permas Kelapa pula, ujian muat naik gagal, manakala bacaan ping dan jitter berada pada paras tinggi dengan kelajuan muat turun yang sangat rendah," katanya.


Chee Hong juga memaklumkan, masalah rangkaian turut dikesan di Kampung Chokoh Besar, sekitar Jambatan Sungai Pulai dan di Kampung Simpang Kiri.


"Kelemahan infrastruktur digital itu memberi kesan besar kepada kehidupan masyarakat, termasuk menyukarkan penduduk yang bekerja dari rumah, mengganggu pembelajaran dalam talian anak-anak serta menjejaskan operasi perniagaan yang bergantung kepada capaian internet yang stabil.


"Rakyat Kukup membayar bil setiap bulan dan mereka berhak menikmati perkhidmatan internet yang berkualiti serta setimpal dengan bayaran yang dikenakan," tambahnya.


Selain menggesa penyelesaian terhadap masalah semasa, beliau turut memohon supaya pelaksanaan kemudahan 5G dan gentian optik di kawasan berkenaan dapat dipercepat.


Untuk rekod, DUN Kukup bersebelahan dengan ibu negeri Johor Bahru dan bersempadan laut dengan Singapura, namun insfrastruktur di kawasan itu tidak dibangunkan oleh kerajaan BN.


Masih banyak terdapat pekan 'koboi' di DUN ini, manakala telekomunikasi amat buruk dan tidak mencerminkan sebuah DUN di bersebelahan ibu negeri atau negara termaju di Asia Tenggara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page