top of page

'Kos tambahan tahanan rumah Najib harus ditanggung sendiri, bukan pembayar cukai'

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
7 minutes ago
2 min read
Naib Ketua Pemuda AMANAH, Ammar Atan
Naib Ketua Pemuda AMANAH, Ammar Atan

Saya mencadangkan agar segala kos tambahan tahanan rumah ditanggung sendiri oleh banduan, bukannya pembayar cukai, kecuali bagi kategori tertentu seperti tahanan reman

Segala kos tambahan pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Najib Razak, termasuk kawalan keselamatan dan logistik perjalanan seharusnya ditanggung sendiri oleh banduan terbabit dan bukannya menggunakan wang pembayar cukai.


Naib Ketua Pemuda AMANAH, Ammar Atan berkata, langkah itu penting bagi memastikan kemudahan tahanan rumah tidak membebankan kewangan negara, khususnya apabila ia membabitkan individu yang mempunyai kedudukan dan kemampuan kewangan seperti Najib yang kini menghabiskan baki hukuman di kediaman mewahnya di Langgak Duta, Kuala Lumpur.


Menurut Ammar, kos berkenaan termasuklah kawalan keselamatan di kediaman Najib serta logistik perjalanan ke pusat rawatan atau untuk menunaikan solat Jumaat, sekiranya dibenarkan.


"Saya mencadangkan agar segala kos tambahan tahanan rumah ditanggung sendiri oleh banduan, bukannya pembayar cukai, kecuali bagi kategori tertentu seperti tahanan reman.


"Dalam kes Najib, ini termasuk kos kawalan keselamatan di Langgak Duta serta logistik perjalanan ke pusat rawatan atau menunaikan solat Jumaat, sekiranya dibenarkan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Ammar berkata, kerajaan juga perlu menetapkan dasar yang jelas berhubung kelayakan seseorang banduan menjalani tahanan rumah bagi mengelakkan kemudahan itu hanya dinikmati golongan berpengaruh.


Katanya, keputusan membabitkan Najib berpotensi menjadi duluan kepada banduan lain untuk memohon kemudahan sama.


Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada rakyat biasa yang dipenjara atas kesalahan berkaitan keperluan hidup turut berpeluang mendapat pertimbangan serupa.


"Misalnya, seorang bapa di Kelantan yang dilaporkan dipenjara kerana mencuri susu formula bayi dan barangan makanan. Adakah beliau juga layak memohon tahanan rumah?


"Jika ya, adakah permohonannya akan dipercepatkan seperti kes Najib?" soalnya.


Dalam pada itu, Ammar berkata, isu tahanan rumah Najib tidak seharusnya terus dipolemikkan sehingga menjejaskan penghormatan terhadap institusi diraja.


Bagaimanapun, katanya, kes berkenaan perlu dijadikan pengajaran bahawa tiada sesiapa mengatasi undang-undang tanpa mengira pangkat, kekayaan atau keturunan.


Beliau turut merujuk minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang baru-baru ini dinyahklasifikasikan, yang menurutnya menunjukkan Kerajaan MADANI membantah cadangan tahanan rumah Najib, namun tetap menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara itu.


"Keadilan tidak boleh diukur berdasarkan kekayaan, pangkat atau pengaruh politik. Jika Najib layak menjalani hukuman di rumah agamnya, rakyat biasa juga berhak mendapat pertimbangan yang adil," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page