top of page

Anak Sarawak rancang perjalanan pulang mengundi lebih awal

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
52 minutes ago
1 min read
Pengerusi Biro Veteran KEADILAN Sarawak, Zulhaidah Suboh
Pengerusi Biro Veteran KEADILAN Sarawak, Zulhaidah Suboh

Anak Sarawak di perantauan digesa mula merancang perjalanan pulang lebih awal bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang menunaikan tanggungjawab demokrasi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke -13 yang bakal diadakan pada 12 Disember ini.


Pengerusi Biro Veteran KEADILAN Sarawak, Zulhaidah Suboh menyifatkan, perancangan awal merupakan sesuatu yang amat penting terutama dari segi tempahan tiket penerbangan, pengangkutan darat, permohonan cuti serta penyusunan jadual perjalanan bagi mengelakkan sebarang kesulitan di saat akhir.


"Mengundi bukan sekadar hak yang diberikan kepada rakyat, tetapi juga satu tanggungjawab dalam menentukan hala tuju pentadbiran dan pembangunan negeri Sarawak.


"Walau di mana pun kita berada, hubungan dengan tanah kelahiran tidak pernah terputus. Masa depan Sarawak merupakan tanggungjawab bersama, termasuk generasi muda yang kini mencari rezeki dan menimba ilmu di perantauan," katanya menerusi satu kenyataan.


Zulhaidah turut menggalakkan semua pengundi supaya menyemak maklumat pengundian melalui saluran rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan membuat pertimbangan secara matang berdasarkan dasar, rekod perkhidmatan serta keperluan masa depan negeri.


Beliau berkata, 12 Disember 2026 adalah hari untuk melaksanakan hak demokrasi sebagai rakyat Sarawak.


"Rancang perjalanan anda dari sekarang, utamakan keselamatan sepanjang perjalanan dan tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.


"Sarawak tanah air kita, tanggungjawab kita bersama," ujarnya lagi.


Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 26 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRN-13.


DUN Sarawak mempunyai 82 kerusi dan bakal berkembang kepada 99 kerusi selepas SPR meluluskan persempadanan 17 kawasan baharu yang sudah diputuskan DUN Sarawak.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page