Empat syarikat utama China teroka peluang baharu di Malaysia


Keutamaan kita adalah memastikan pelaburan ini mampu serta berupaya memperkasa industri tempatan, meningkatkan daya saing syarikat Malaysia, mempercepat pemindahan teknologi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi, seperti yang didambakan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) - PM
Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan teknologi tinggi apabila empat syarikat utama China menyatakan minat meneroka peluang pelaburan baharu, peluasan operasi dan peningkatan kapasiti pengeluaran di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan wakil empat syarikat utama China pada hari kedua lawatan kerja di Shenzhen, iaitu Shenzhen Mindray Bio-Medical Electronics, Guangzhou Tinci Materials Technology, Shenzhen Capchem Technology dan XTC New Energy Materials dari Xiamen.
Pertemuan berkenaan memberi tumpuan kepada sektor peranti perubatan, bahan termaju, teknologi bateri dan bahan kimia khusus yang mempunyai potensi besar untuk memperkukuh ekosistem industri serta rantaian bekalan tempatan.
Mindray teroka fasiliti peranti perubatan
Menurut Anwar, Shenzhen Mindray Bio-Medical Electronics sedang meneroka peluang membangunkan fasiliti pembuatan atau hab perkhidmatan peranti perubatan di Malaysia.
Cadangan itu berpotensi membuka ruang kerjasama dengan pengilang serta pembekal komponen tempatan, sekali gus meningkatkan keupayaan industri peranti perubatan negara.
Dalam sektor bahan termaju dan industri bateri, Guangzhou Tinci Materials Technology pula bercadang menghasilkan elektrolit dan bahan kimia khusus untuk bateri litium-ion.
Tinci merupakan syarikat yang mempunyai kegiatan perniagaan dalam bidang bahan bateri litium-ion serta bahan kimia khusus. tinci.
Sementara itu, XTC New Energy Materials (Xiamen) merancang pelaburan dalam sektor pembuatan bahan katod bateri litium-ion di Selangor, yang berpotensi menyokong perkembangan ekosistem industri kenderaan elektrik dan penyimpanan tenaga.
Capchem teliti bina kilang kedua di Kedah
Dalam perkembangan sama, Shenzhen Capchem Technology yang sudah beroperasi di Kulim Hi-Tech Park, Kedah, sedang meneliti cadangan memperluaskan kapasiti pengeluaran menerusi pembinaan kilang kedua.
Langkah itu bertujuan memenuhi permintaan pasaran Asia Tenggara yang semakin berkembang, khususnya dalam sektor bahan kimia khusus dan industri berkaitan bateri.
Anwar berkata, beliau turut memberi perhatian kepada peluang penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan, pemindahan teknologi serta pembangunan bakat dan kepakaran teknikal.
Cadangan pelaburan China cecah RM9.2 bilion
Secara keseluruhan, Malaysia turut menerima cadangan pelaburan indikatif bernilai RM9.2 bilion hasil beberapa siri pertemuan dengan syarikat berpangkalan di China sepanjang lawatan kerja Perdana Menteri.
Anwar menjelaskan angka berkenaan masih bersifat indikatif dan butiran lanjut mengenai cadangan pelaburan itu akan diperincikan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada masa akan datang.
Cadangan projek berkenaan melibatkan beberapa negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Pahang. Kerajaan Persekutuan juga akan membantu mempercepatkan proses pelaksanaan projek bagi menyokong kepentingan negeri terlibat.
Menurut Perdana Menteri, usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi perlu memberi manfaat secara langsung kepada ekonomi dan rakyat, bukan sekadar meningkatkan jumlah modal yang masuk ke negara ini.
"Keutamaan kita adalah memastikan pelaburan ini mampu serta berupaya memperkasa industri tempatan, meningkatkan daya saing syarikat Malaysia, mempercepat pemindahan teknologi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi, seperti yang didambakan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP)," katanya.
Beliau menegaskan Malaysia komited menarik pelaburan berteknologi tinggi yang mampu meningkatkan keupayaan industri domestik, memperkukuh kedudukan negara dalam rantaian bekalan global serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Usaha itu selaras dengan aspirasi NIMP 2030 untuk mentransformasikan sektor perindustrian negara ke arah industri bernilai tinggi, berteknologi maju dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.




Comments