Cabaran ekonomi tidak jejas kualiti penganjuran Sukan SEA 2027
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 1 min read

Persiapan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 tidak terjejas oleh cabaran ekonomi semasa dan suasana geopolitik tidak menentu.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari (gambar) berkata walaupun kerajaan mengamalkan langkah berjimat cermat susulan situasi konflik di Asia Barat, namun standard serta kualiti penganjuran tetap terjamin bagi memastikan prestij temasya sukan dwitahunan itu terus terpelihara.
"Kita tidak akan membelanjakan jumlah yang besar untuk pembinaan fasiliti baharu. Hampir kesemua tempat penganjuran sudah pun ada fasiliti yang lengkap dan bersedia untuk penganjuran Sukan SEA 2027.
"Jadi apa yang paling penting sekarang adalah penambahbaikan ataupun menaik taraf fasiliti sedia ada daripada kita menyediakan fasiliti atau infrastruktur baharu yang menelan kos lebih," katanya dipetik.
Sukan SEA 2027 bakal berlangsung dari 18 hingga 29 Sept.
Dr Mohammed Taufiq sementara itu berkata, pihaknya akan memanfaatkan fasiliti sedia ada di empat kluster utama Sukan SEA 2027 melibatkan Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.
Sebagai mengulas cabaran logistik susulan penganjuran acara di empat kluster itu, Dr Mohammed Taufiq menyatakan rasa optimis kepada kemampuan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Ke-34 (MASOC) untuk memastikan acara tersebut berlangsung dengan lancar.
"Saya yakin jawatankuasa ini sedang bekerja dengan rapi, baik dan teratur untuk memastikan penganjuran Sukan SEA ini menjadi lancar dan antara yang terbaik berbanding sebelum ini," katanya.




Comments