BUDI95: RON95 untuk warganegara turun RM1.99 seliter mulai 30 Sept - PM
- Suara Keadilan
- 4 days ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kira-kira 16 juta rakyat Malaysia akan menikmati manfaatkan subsidi petrol RON95 yang dijual pada harga RM1.99 seliter mulai 30 September ini, selaras dengan dasar bantuan bersasar kerajaan bagi bahan bakar itu.
Perdana Menteri berkata individu bukan warganegara pula dikenakan harga tanpa subdisi RM2.60 seliter sebagai langkah memperkukuhkan kewangan negara dan memastikan manfaat negara terus sampai kepada setiap lapisan masyarakat.
Melalui program subsidi Budi Madani 95 (Budi95), setiap rakyat Malaysia akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter subsidi RON95 dengan penuruhan harga daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter, kata beliau.
"Langkah ini adalah komitmen berterusan untuk melindungi rakyat, memperkukuh kedudukan kewangan negara, mengurus cabaran global dan memastikan manfaat negara sampai terus kepada setiap lapisan masyarakat untuk dinikmati bersama.
"Marilah kita terus bersatu padu untuk memastikan ekonomi negara terus kukuh dan berupaya berhadapan cabaran mendatang demi melindungi kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya.
Terdahulu pada pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan kerajaan akan melaksanakan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) mulai 30 September ini.
Menerusi inisiatif itu kata beliau, setiap rakyat Malaysia akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter subsidi petrol RON95.
"Seiring dengan pelaksanaan tersebut, harga RON95 turut diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter, manakala bukan warganegara akan dikenakan harga RM2.60 seliter," ujarnya.
Melalui BUDI95, semua warganegara Malaysia, tanpa mengira tahap pendapatan, dengan lesen memandu yang sah dan aktif, akan secara automatik menikmati manfaat ini, kata Anwar.
"Usaha ini bertujuan memastikan subsidi diagihkan secara lebih adil kepada rakyat yang layak di samping mengelakkan sebarang bentuk ketirisan," jelas beliau.
Bagi menjayakan pelaksanaan program itu, penggunaan MyKad dan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjadi asas pengesahan, agar hanya warganegara yang memiliki lesen memandu sah menerima manfaat, katanya.
"Saya juga ingin mengingatkan rakyat untuk menyemak lebih awal cip MyKad dan lesen memandu masing-masing, supaya tidak timbul masalah teknikal ketika mengisi petrol kelak.
"Kementerian Kewangan akan memberi penjelasan dan penerangan terperinci dari semasa ke semasa, agar rakyat benar-benar jelas mengenai pelaksanaan ini.
"Yang penting, subsidi ini akan diagih secara bersasar, telus dan tanpa ketirisan demi kebaikan seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Comments