top of page

Bersedia hadapi penjajaran baharu, susun strategi hadapi pilihanraya

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 3 hours ago
  • 3 min read

KEADILAN perlu bersedia menilai semula bentuk kerjasama politik sedia ada dan menyusun strategi baharu bagi menghadapi kemungkinan perubahan jajaran menjelang pilihan raya umum akan datang susulan pengalaman dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.


Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Juwairiya Zulkifli (gambar) berkata keputusan pilihanraya berkenaan perlu dipandang serius apabila KEADILAN kehilangan kerusi di Johor selain sebuah kerajaan negeri di Negeri Sembilan.


Menurut beliau, keadaan itu turut menimbulkan persoalan mengenai hubungan dengan rakan dalam Kerajaan Perpaduan apabila kerjasama di peringkat Persekutuan tidak diterjemahkan dalam bentuk yang sama di peringkat negeri.


"Apa yang terjadi serius apabila rakan perpaduan kita di peringkat Kabinet dan Kerajaan Persekutuan bertindak menjadi musuh dan menentang kita di peringkat negeri.


"Adakah kita masih boleh biarkan keadaan ini berulang dalam pilihan raya negeri akan datang? Adakah kita boleh biarkan keadaan ini berlaku di negeri lain? Tidak. Enough is enough," tegasnya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Wanita KEADILAN 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini.


Juwairiya berkata KEADILAN perlu mengambil pengajaran daripada perkembangan tersebut dan bersedia menghadapi apa juga kemungkinan dalam menentukan bentuk kerjasama politik pada masa hadapan.


Beliau berkata KEADILAN perlu bersedia dengan kemungkinan penjajaran baharu termasuk membuka ruang kepada pihak lain yang mempunyai matlamat sama dalam memastikan kestabilan politik dan menjaga kepentingan rakyat.


"Kita harus menyusun strategi baharu dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang dan yang paling hampir berlaku tidak lama lagi.


"Kita harus bersedia dengan kemungkinan penjajaran baharu yang menerima mana-mana pihak yang bersedia bersama kita dalam kemah besar kita, yang ingin bersama dengan matlamat kestabilan politik dan kepentingan rakyat terbanyak," katanya.


Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) wajar diteruskan atau sebaliknya susulan tindakan parti itu telah menjejaskan kedudukan KEADILAN dalam pilihan raya.


"Kita harus bersedia dengan segala kemungkinan demi meluaskan wilayah dan pengaruh kita. Kita harus bersedia dengan sebarang kemungkinan dalam mengatur strategi baharu kerana apa? Kerana kita ingin tawarkan dasar dan polisi yang adil kepada semua rakyat, untuk kita meneruskan agenda reformasi," katanya.


Mengulas keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan, Juwairiya berkata KEADILAN juga perlu mengambil kira kemunculan penjajaran politik baharu dalam kalangan lawan yang menurutnya menggunakan pendekatan berasaskan kaum dan agama bagi mempengaruhi pengundi.


Jelas beliau, parti menghormati keputusan pengundi dan pada masa sama perlu bermuhasabah serta mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki selepas kira-kira tiga tahun berada dalam kerajaan.


"Kita boleh terima segala keputusan sebagai kehendak rakyat atau majoriti pengundi yang telah bersuara dalam pilihan raya baru-baru ini. Kita hormat, kita terima dan kita muhasabah.


"Sudah tentu kita sebagai kerajaan Persekutuan yang tidak sampai satu penggal, masih ada kelemahan dan kekurangan. Kita masih belum selesai agenda reformasi kita," katanya.


Dalam pada itu, Juwairiya menegaskan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Menteri Kabinet dari KEADILAN perlu terus diberikan sokongan, namun tidak bermakna parti harus berdiam diri sekiranya terdapat kelemahan.


"Yang betul, kita sokong. Yang tidak betul, kita tegur," katanya.


Pada masa sama, Juwairiya mengajak Wanita KEADILAN memperkukuh semula organisasi di peringkat akar umbi, khususnya selepas proses pemilihan parti yang menyaksikan sebahagian anggota tidak lagi aktif dalam gerak kerja parti.


Menurutnya, sayap itu memerlukan bakat baharu daripada pelbagai kelompok termasuk anak muda, mahasiswa, ahli akademik, suri rumah dan golongan profesional untuk memperluas sokongan terhadap agenda reformasi.


"Kita perlukan new talent [bakat baharu]. Kita perlukan semua pihak dan semua lapisan umur. Anak muda, mahasiswa, ahli akademik, suri rumah dan semua yang berminat untuk lakukan perubahan dan melakukan islah, mengubah nasib masyarakat.


"Tidak cukup kita-kita sahaja di dalam dewan ini. Untuk menggerakkan dan menyokong usaha dan agenda reformasi, kita perlukan lebih ramai penyokong dan pendukung KEADILAN yang ikhlas dan berani melakukan perubahan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page