Bekalan minyak di Malaysia terjamin, harga RON95 subsidi kekal - PM
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 1 min read

Kerajaan memberikan jaminan bekalan minyak di Malaysia dalam keadaan terkawal ketika harga bahan bakar itu melonjak di tengah konflik di Asia Barat susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas yang kemudian merebak ke rantau Teluk sejak hujung bulan lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu kerajaan mengambil keputusan sukar dengan mengekalkan harga RON95 di bawah program subsidi Budi walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi.
"Alhamdulillah, kerana bila kita semak dengan Petronas, kita dapati bekalan produk petroleum mencukupi sekurang-kurangnya
sehingga Mei 2026. Ini tentunya berbeza daripada keadaan di kebanyakan negara lain," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan bahawa kerajaan akan terus mendepani permasalahan ini dengan fokus menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat termasuk melindungi mereka daripada impak penuh kenaikan harga minyak harga barang-barang keperluan lainnya.
"Sebab itu, saya telah maklumkan kepada Jemaah Menteri untuk menetapkan harga Budi95 untuk rakyat. Ini satu keputusan yang sukar tapi akan dikekalkan pada paras RM1.99 sen seliter walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi.
"Bukan harga pasaran bulan lalu, jauh lebih tinggi dan harga sebenar jauh lebih tinggi, apalagi kalau dibanding dengan harga di negara-negara jiran tiga kali ganda," katanya.
Tambah Perdana Menteri pihaknya juga telah meminta Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof mempengerusikan jawatankuasa berhubung dengan penguatkuasaan bahan bakar seperti diesel yang harganya lebih terkawal di Semenanjung serta tidak naik di Sabah dan Sarawak.
"Ini memungkinkan penyeludupan besar-besaran. Jadi, saya tugaskan TPM memastikan bersama KPDN untuk memastikan pengawasan lebih teliti dan tindakan yang lebih tegas terhadap kalangan yang cuba mengambil kesempatan dan menyeludup," katanya.




Comments